AM

WHO Sokong Kepengerusian ASEAN Oleh Malaysia - Dzulkefly

21/05/2025 08:37 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan sokongan terhadap Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia khususnya dalam isu kesihatan sejagat, kesiapsiagaan pandemik, perubahan iklim serta pelaksanaan strategi kesihatan serantau.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata komitmen WHO itu disampaikan ketika kunjungan hormat beliau ke atas Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus di Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78) yang sedang berlangsung di Geneva, Switzerland hingga esok.

Beliau berkata antara isu yang dibangkitkannya pada pertemuan itu ialah keperluan reformasi sistem pembiayaan kesihatan mampan yang merupakan agenda penting serta turut menjadi tumpuan dalam pelbagai sesi di WHA78.

“Di Malaysia, usaha ke arah ini sedang giat diperkukuh bagi membina sistem kesihatan yang lebih berdaya saing, terangkum dan adil untuk semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata Malaysia akan terus berganding bahu dengan WHO dalam memperkasakan sistem kesihatan awam dan memastikan tiada yang tercicir dalam menuju masa depan kesihatan lebih adil dan berdaya tahan, selain memastikan pelaksanaan Perlindungan Kesihatan Sejagat (UHC) dapat dipercepat.

Menyifatkan pertemuan itu sebagai satu penghormatan, Dzulkefly berkata beliau turut mengambil kesempatan menjemput Dr Tedros untuk melawat Malaysia pada November ini bagi mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam bidang kesihatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425425