AM

Nahas FRU: Bantuan Tambahan Akan Diumum - Exco

21/05/2025 07:05 PM

GOPENG, 21 Mei (Bernama) -- Kerajaan Perak akan menyalurkan bantuan tambahan kepada waris dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terbabit dalam kemalangan maut di Teluk Intan, minggu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed berkata perincian mengenai bantuan itu akan diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Menteri Besar baru balik (lawatan kerja di luar negara) dan kita akan mengadakan mesyuarat (Exco kerajaan negeri) untuk menentukan bantuan yang akan diberikan oleh kerajaan negeri.

"Sebelum ini, bantuan kecemasan RM1,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diberikan kepada semua waris dan anggota yang terbabit dalam kemalangan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam kejadian pada 8.50 pagi 13 Mei itu, sembilan anggota maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak FRU dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semasa dalam perjalanan pulang ke Unit 5, Sungai Senam di sini.

Terdahulu, Salbiah menyertai majlis pelepasan kontena produk usahawan ke pameran ‘Consumer Fair & Trade Expo 2025’ di Brunei yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun di pekarangan parkir Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini hari ini

Sementara itu, Salbiah berkata 18 usahawan dari Perak akan terlibat dalam pameran tersebut yang akan berlangsung lima hari bermula 25 Jun ini di International Convention Centre, Berakas, Brunei.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan nilai jualan RM1 juta sepanjang pameran itu melibatkan antaranya produk makanan dan minuman, kesihatan dan kecantikan, kraf tangan, produk tenusu serta bakeri. 

Salbiah berkata ini merupakan kali pertama kerajaan negeri menyertai pameran tersebut sekali gus memberi peluang kepada usahawan memperluaskan lagi pasaran produk mereka.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425383