PASARAN

Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur

21/05/2025 06:27 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini, berikutan penurunan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran turut lembap berikutan kebimbangan hubungan yang tegang antara Amerika Syarikat dan China, kesan ekonomi akibat tarif perdagangan AS dan kekurangan kemajuan dalam perjanjian perdagangan baharu.

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh kenaikan dalam harga minyak mentah dan data ekonomi China yang menggalakkan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun merosot pada Rabu susulan prospek bekalan yang lebih baik apabila kawasan pengeluaran memulakan musim menuai mereka.

Namun, katanya, permintaan untuk bahan bagi pembuatan tayar semakin meningkat, selain kebimbangan mengenai cuaca buruk.

Pada 5.25 petang, harga minyak mentah Brent meningkat 1.45 peratus kepada US$66.36 setong.

Sementara pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 naik 14.0 sen kepada 743 sen sekilogram, manakala lateks pukal menyusut 3.0 sen kepada 601.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425358