AM

Tindakan Segera Diambil Terhadap Laporan Siasatan Pengarah AADK Negeri Sembilan - Ruslin

19/05/2025 05:26 PM

PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan mengambil tindakan segera terhadap laporan siasatan salah laku melibatkan Pengarah AADK Negeri Sembilan yang dikatakan mengeluarkan arahan menjalankan operasi serbuan ke atas kelab malam pada waktu siang sedangkan aduan diterima berkaitan aktiviti jenayah yang berlaku pada waktu malam.

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana kakitangan agensi itu sekiranya didapati bersalah berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada.

“AADK sama sekali tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana kakitangan yang terlibat dengan salah laku dan pelanggaran integriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) memutuskan untuk merujuk syor hukuman Pengarah AADK Negeri Sembilan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib AADK, berikutan aduan terhadap pengarah itu, yang turut didakwa operasi serbuan ke atas kelab malam itu juga dilakukan tanpa mendapatkan kebenaran dan kelulusan khas Pengarah Penguatkuasaan Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan Ibu Pejabat AADK.

Ruslin berkata sebagai sebuah agensi penguat kuasa, AADK akan bekerjasama erat dengan EAIC dalam usaha meningkatkan tadbir urus yang baik khususnya melibatkan siasatan terhadap sebarang aduan salah laku serta integriti dalam kalangan kakitangan agensi itu.

Beliau turut mengingatkan semua kakitangan AADK agar sentiasa melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, berintegriti serta mematuhi prosedur operasi standard dan garis panduan berdasarkan Sistem Pengurusan Antirasuah.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2424516