BUKIT MERTAJAM, 30 April (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga emas yang dipercayai suspek utama kes bunuh melibatkan seorang lelaki yang juga rakannya di sebuah pondok di Cheruk Tokun, di sini Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata lelaki berusia 70 tahun itu ditahan 11 malam tadi di sebuah kedai kopi di kawasan Machang Bubok, di sini.
"Dengan penahanan lelaki itu, polis percaya telah berjaya menyelesaikan kes kematian lelaki berusia 63 tahun yang berlaku di sebuah pondok di Cherok Tokun, Ahad lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lelaki itu direman hingga 6 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang warga emas yang berlaku 3.22 petang Ahad membabitkan insiden pergaduhan di pondok itu.
Semasa kejadian, mangsa dan lima rakannya termasuk suspek utama iaitu lelaki warga emas berusia 70 tahun sedang duduk berbual di pondok berkenaan namun secara tiba-tiba, suspek dipercayai bangun sebelum datang semula dan terus memukul mangsa dari arah belakang dengan sebatang kayu sehingga lelaki berkenaan rebah.
Suspek kemudiannya mengeluarkan sebilah pisau sebelum terus menikam warga emas berkenaan sebelum sempat melarikan diri.
-- BERNAMA