ALOR SETAR, 30 April (Bernama) -- Seorang pemandu dan kelindan sebuah treler ditahan kerana membawa muatan 56.53 tan beras putih bernilai RM226,120 tanpa dokumen sah dalam operasi di Gurun dekat sini hari ini.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta SAC Shahrum Hashim berkata operasi penguatkuasaan kawal selia padi dan beras itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Ibu Pejabat Risik Briged Utara PGA Ulu Kinta yang berjaya mengesan kegiatan itu hasil maklumat risikan.
“Muatan beras yang dirampas diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kedah dengan kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut merampas treler berkenaan manakala kedua-dua lelaki tempatan itu ditahan untuk siasatan lanjut dan ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah.
Shahrum berkata pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan terhadap pihak yang mengendalikan beras import untuk dipasarkan ke dalam pasaran tempatan secara tidak sah.
“Masyarakat diseru supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.
-- BERNAMA