EKONOMI

MIHAS 2025 Akan Manfaatkan Platform MDT Sasar Jualan Halal Global Bernilai RM4.5 Bilion

01/05/2025 12:15 AM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) - Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-21 akan memanfaatkan platform Perdagangan Digital MADANI (MDT) yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) untuk menyasarkan jualan halal global berjumlah RM4.5 bilion bagi 2025.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata platform yang diperkenalkan bulan lepas itu berfungsi sebagai saluran yang tepat untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana bagi mencapai pasaran global dengan berkesan dan melibatkan diri dalam perdagangan digital rentas sempadan.

"Selama bertahun-tahun, MIHAS telah berkembang daripada pameran perdagangan menjadi hab global yang dinamik, memupuk inovasi, membentuk perkongsian strategik dan mewujudkan pelbagai peluang merentas keseluruhan rantaian nilai halal.

“Tahun ini, kita bersedia untuk menganjurkan acara yang lebih membawa impak, berpandukan tema menarik, ‘Pinnacle of Halal Excellence’ (Mercu Keunggulan Halal) yang menyerlahkan komitmen tidak berbelah bahagi Malaysia untuk mempamerkan kemajuan terkini dalam industri halal.

“Selain itu kita juga meraikan kecemerlangan global dalam sektor yang berkembang pesat ini,” katanya menerusi ucapan alu-aluan beliau pada prapelancaran MIHAS edisi ke-21, di sini, hari ini.

MIHAS 2025 yang akan diadakan di Pusat Perdagangan & Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 17-20 Sept 2025,  akan mempamerkan 14 kluster berbeza – terdiri daripada makanan dan minuman, farmaseutikal, seni dan kraf Islam, kewangan Islam, fesyen sopan dan banyak lagi.

Pameran itu yang menyasar menarik lebih 45,000 pengunjung perdagangan, menampilkan 2,380 gerai merentas sembilan dewan dengan penyertaan dari 45 negara.

Sementara itu, Reezal Merican berkata MIHAS 2025 juga akan mempamerkan kepelbagaian anggota ASEAN dan budayanya, bersempena dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia.

"Sebagai agensi penggalakan perdagangan Malaysia, MATRADE terus menumpukan kepada usaha memacu pertumbuhan eksport.

“Walaupun kerumitan landskap perdagangan global ketika ini, seperti pengenaan tarif baru-baru ini, kami komited untuk mencapai pertumbuhan eksport minimum lima peratus untuk mencapai sasaran RM1.58 trilion yang ditetapkan bagi tahun ini," katanya.

Beliau berkata MATRADE menyokong penuh Pelan Induk Industri Halal 2030, yang menyasar mencapai eksport halal bernilai RM75.2 bilion dan menyumbang 11 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

MIHAS 2024 mencapai pencapaian yang luar biasa meraih jualan bernilai RM4.3 bilion, peningkatan ketara 34 peratus, dan menarik lebih 43,000 pelawat dari 90 negara.

"Program Penyumberan Antarabangsa sahaja mencatatkan peningkatan jualan hampir dua kali ganda mencecah RM2.5 bilion. Harapan kini lebih tinggi terhadap MIHAS 2025," katanya.

Selepas berjaya menganjurkan MIHAS edisi antarabangsa yang pertama di Dubai tahun lepas, MATRADE akan mengadakan edisi antarabangsa seterusnya di Shanghai, China, (MIHAS@Shanghai) dari 5-10 Nov, 2025, bersempena dengan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE), untuk berkembang lebih meluas ke pasaran halal Asia Timur.

“Edisi Shanghai juga akan mempamerkan rangkaian komprehensif tawaran halal yang akan memudahkan lagi hubungan perniagaan antara pembekal antarabangsa dan pengedar serta peruncit China,” kata Reezal Merican.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2418519