KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning memperlihatkan peningkatan sokongan pengundi Melayu, pelbagai kaum dan anak muda terhadap UMNO.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kemenangan itu juga membuktikan rakyat menolak politik perkauman, kebencian, maki hamun serta mainan persepsi seolah-olah Islam dan Melayu terancam.
"UMNO juga mengucapkan terima kasih kepada jentera parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Sahabat BN, juga rakan-rakan daripada Pakatan Harapan yang bekerja keras memenangkan calon BN.
"UMNO menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pengundi DUN Ayer Kuning atas kepercayaan dan keyakinan mereka kepada UMNO dan BN sehingga memungkinkan kemenangan dengan majoriti besar di semua pusat daerah mengundi kecuali satu," menurutnya dalam kenyataan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini malam ini.
Pada PRK DUN Ayer Kuning 26 April lepas, BN mempertahankan kerusi itu apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, memperoleh kemenangan dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru menewaskan calon Perikatan Nasional Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia.
Asyraf Wajdi juga berkata buat julung kalinya, Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO akan diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-79 parti itu pada 11 Mei ini di Dewan Tun Hussein Onn, WTC.
-- BERNAMA