JENAYAH & MAHKAMAH

Operator Kilang Rugi Hampir RM450,000 Akibat Pelaburan Tidak Wujud

30/04/2025 08:02 PM

IPOH, 30 April (Bernama) -- Seorang operator kilang warga emas di Taiping kerugian RM449,100 selepas terperdaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang diketahuinya menerusi media sosial. 

Ketua Polis Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata lelaki berusia 69 tahun itu mendakwa telah membuka pautan berkaitan pelaburan itu di Facebook sebelum dimasukkan ke kumpulan WhatsApp pada 16 Feb lepas.  

“Sindiket itu menjanjikan keuntungan beberapa peratus daripada pelaburan selain turut bergantung kepada kenaikan harga saham semasa. Mangsa juga diminta memuat naik aplikasi kononnya untuk memantau kenaikan dan keuntungan saham,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Nasir berkata mangsa telah membuat 19 transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank diberikan sindiket tersebut dari 16 Feb hingga 12 April. 

Selain itu, beliau berkata mangsa juga diarahkan untuk menyelesaikan pelan pembayaran dalam tempoh tiga bulan bagi memperoleh keuntungan dan tidak dibenarkan mengeluarkan hasil pelaburan sebelum tempoh matang. 

“Mangsa menyedari diperdaya selepas gagal mendapatkan maklum balas berhubung pelaburan, termasuk tidak menerima balasan bagi pesanan WhatsApp dihantarnya.

“Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. 

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2418449