JENAYAH & MAHKAMAH

Vesel Vietnam Ditahan, Rampasan Hampir RM1 Juta

29/04/2025 05:55 PM

KOTA BHARU, 29 April (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan sebuah bot dan tiga warga Vietnam bersama rampasan membabitkan nilai hampir RM1 juta, Ahad lepas.

Pengarahnya Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata tangkapan dibuat pada kedudukan lebih kurang 94 batu nautika dari muara Tok Bali, ketika rondaan di sempadan perarian Malaysia-Vietnam menerusi Op Damai, Op Naga Barat dan Op Tiris pada 4.49 petang.

Beliau berkata warga asing yang ditahan berusia 37 hingga 41 tahun.

“Pada awalnya, nelayan asing itu tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara apabila penguat kuasa Maritim Malaysia memberikan arahan supaya menghentikan bot.

"Pemeriksaan lanjut di dalam vesel berkenaan menemukan kira-kira 5,000 kilogram hasil laut, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 600 liter dengan anggaran bernilai hampir RM1 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata proses membawa balik vesel mengambil masa 23 jam sebelum tiba di jeti APMM kira-kira 3.55 petang keesokan harinya, sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Erwan Shah berkata kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2417960