PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Bilangan pertubuhan milikan wanita di Malaysia adalah 219,015, menyumbang 20.1 peratus kepada keseluruhan pertubuhan dalam ekonomi pada 2022, menurut Statistik Milikan Wanita berdasarkan Banci Ekonomi 2023 diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertubuhan milikan wanita itu beroperasi pada 2022 dengan kadar pertumbuhan tahunan 2.3 peratus, berbanding banci sebelumnya dengan 187,265 pertubuhan direkodkan pada 2015.
Beliau berkata sebanyak 205,012 pertubuhan atau 93.6 peratus tertumpu dalam sektor perkhidmatan, diikuti sektor pembuatan (8,469 pertubuhan) dan sektor pembinaan (3,869 pertubuhan).
Penemuan mengikut subsektor, katanya menunjukkan lebih daripada 70.0 peratus daripada pertubuhan milikan wanita terlibat dalam subsektor perdagangan borong dan runcit dengan 45 peratus serta subsektor makanan dan minuman 31.1 peratus.
"Selangor kekal sebagai negeri teratas dengan bilangan pertubuhan milikan wanita tertinggi pada 2022, menyumbang 15.9 peratus daripada jumlah keseluruhan 219,015 pertubuhan, diikuti Sabah 22,740 pertubuhan, Kelantan (21,079), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (20,237) dan Johor (19,495),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata kelima-lima negeri berkenaan menyumbang lebih separuh daripada jumlah keseluruhan pertubuhan milikan wanita di Malaysia.
Beliau berkata nilai output kasar yang dijana oleh pertubuhan milikan wanita berjumlah RM136.9 bilion pada 2022, menyumbang 3.6 peratus kepada keseluruhan sektor ekonomi di Malaysia dengan sektor perkhidmatan menjana nilai output kasar tertinggi sebanyak RM83 bilion atau sumbangan 60.7 peratus manakala subsektor perdagangan borong dan runcit merupakan pemangkin yang menyumbang 37.7 peratus atau RM31.3 bilion.
“Selaras dengan peningkatan nilai output kasar, jumlah nilai ditambah bagi pertubuhan milikan wanita meningkat 6.5 peratus setiap tahun, kenaikan sebanyak RM21.8 bilion untuk mencatatkan RM61.4 bilion pada 2022 daripada RM39.6 bilion pada 2015.
“Penyumbang utama kepada nilai ditambah ini ialah sektor Perkhidmatan yang mencatatkan 72.2 peratus atau RM44.4 bilion dengan kadar pertumbuhan tahunan 5.7 peratus. Sementara itu, sektor pembuatan dan pertanian masing-masing menyumbang RM10.5 bilion dan RM5.0 bilion,” katanya.
Beliau berkata nilai harta tetap bagi pertubuhan milikan wanita menunjukkan peningkatan sebanyak 5.6 peratus setahun daripada RM37.9 bilion pada 2015 kepada RM55.4 bilion pada 2022, dipengaruhi terutamanya oleh sektor perkhidmatan yang mencatatkan RM41.3 bilion pada 2022 daripada RM22.8 bilion pada 2015, manakala sektor pembuatan dengan nilai harta tetap sebanyak RM7.6 bilion dan sektor pertanian mencatatkan RM5.9 bilion.
Mohd Uzir berkata pada 2022 terdapat 185,582 pertubuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang dimiliki oleh wanita, mewakili 17.0 peratus daripada keseluruhan pertubuhan di Malaysia, dengan daripada jumlah itu, 171,800 pertubuhan terlibat dalam sektor perkhidmatan, diikuti 8,359 pertubuhan dalam sektor pembuatan.
Beliau berkata pertubuhan PKS milikan wanita ini menjana output kasar bernilai RM89.3 bilion dan nilai ditambah RM44.3 bilion, masing-masing meningkat 3.7 peratus dan 4.1 peratus setiap tahun.
Selain itu, Mohd Uzir berkata pertubuhan milikan wanita menggajikan 833,311 orang pekerja, dengan kadar pertumbuhan tahunan 0.9 peratus manakala dari segi gaji dan upah serta nilai harta tetap, ia mencatatkan RM16.2 bilion dan RM39.7 bilion dengan kadar pertumbuhan tahunan masing-masing 4.5 peratus dan 3.4 peratus.
“Peningkatan penglibatan wanita dalam ekosistem keusahawanan mencerminkan komitmen berterusan Malaysia terhadap kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita.
“Statistik ini bukan sahaja membuktikan kekuatan dan keupayaan usahawan wanita, malah berfungsi sebagai input penting bagi pembuat dasar, penyelidik dan pemain industri dalam merangka strategi yang berinformasi untuk menyokong dan meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi,” katanya.
-- BERNAMA