GEORGE TOWN, 30 April (Bernama) -- Seorang pengurus perakaunan sebuah syarikat swasta kerugian RM1.36 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian di daerah Barat Daya, dekat sini baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya menerima laporan daripada lelaki berusia 70 tahun itu pada Isnin lepas, memaklumkan dirinya ditipu sindiket berkenaan.
“Menurut mangsa, pada penghujung Disember lepas, beliau telah melihat satu iklan pelaburan berkonsepkan jual beli saham di Bursa Saham yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp, menawarkan pulangan keuntungan antara lapan hingga 15 peratus daripada modal dilaburkan dalam tempoh dua bulan.
“Mangsa yang berminat kemudian memuat turun aplikasi dikenali sebagai ‘BIONM’, mendaftar sebagai ahli dan mula melabur melalui aplikasi tersebut dengan membuat 14 transaksi pindahan wang ke empat akaun berbeza berjumlah keseluruhan RM1.365 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM1 juta sebagai komisen kepada pihak BIONM kononnya untuk membolehkan pengeluaran keuntungan berjumlah RM11 juta yang dikatakan telah terkumpul dalam aplikasi tersebut.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket penipuan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA