KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Pusat Perniagaan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam sektor utama pada 2024 dipacu oleh kebolehsesuaian kawal selia dan inovasi pasaran.
Semasa membentangkan Laporan Pasaran Labuan IBFC 2024, Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) Nik Mohamed Din Nik Musa berkata Labuan IBFC terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab serantau bagi perkhidmatan kewangan.
Katanya, perkhidmatan kewangan pusat tersebut turut merentas sempadan di bawah Pelan Hala Tuju Strategik Labuan IBFC 2022-2026.
Menurutnya, prestasi pusat berkenaan disokong oleh peningkatan penggunaan digital, lonjakan dalam aktiviti kewangan Islam dan prestasi pajakan yang kukuh, terutamanya dalam sektor minyak dan gas (O&G) serta penerbangan.
Nik Mohamed Din turut menekankan jumlah keseluruhan entiti berlesen meningkat kepada 838 tahun lepas dipacu oleh kemasukan peserta baharu merentasi pelbagai sektor perniagaan.
“Pencapaian penting pada 2024 termasuk peningkatan sembilan peratus dalam pemerbadanan syarikat (627 pendaftaran baharu) dengan lebih 60 peratus berasal dari Asia dan Pasifik,” katanya sewaktu membentangkan laporan tersebut di Sasana Kijang di sini hari ini.
Beliau berkata insurans kaptif mencatat paras tertinggi dalam tempoh lima tahun dengan premium ditaja jamin berjumlah US$677.4 juta (US$1 = RM4.31), dipacu oleh cabang baharu seperti pampasan pekerja dan indemniti profesional.
Sementara itu, dalam sektor pajakan, jumlah aset pajakan baharu minyak dan gas lebih daripada dua kali ganda kepada US$815.9 juta manakala pajakan penerbangan kekal dominan.
“Sektor pajakan Labuan IBFC meneruskan momentum kenaikannya pada 2024 dengan pajakan penerbangan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah aset pajakan, berjumlah US$36.8 bilion,” katanya.
Beliau menambah urus niaga pajakan berikutnya mendorong peningkatan luar biasa sebanyak 69.3 peratus dalam jumlah perolehan pajakan dan lonjakan 152 peratus dalam keuntungan bersih, mencecah US$654.6 juta.
Nik Mohamed Din berkata kewangan Islam muncul sebagai peneraju utama dengan nilai token sekuriti patuh Syariah (RAMZ) meningkat 21 kali ganda kepada US$1.05 bilion, dibantu oleh inovasi rantaian blok (blockchain) dan pelancaran Pusat Aset Digital Islam (IDAC) Labuan.
"Labuan IBFC juga memperoleh pengiktirafan antarabangsa sebagai Bidang Kuasa Antarabangsa Terbaik untuk Perbankan dan Kewangan Islam 2024 oleh Anugerah Kewangan Islam Global," katanya.
Dalam pasaran modal, perolehan daripada pemegang lesen sekuriti hampir tiga kali ganda kepada US$9.6 juta manakala pengurusan dana menyaksikan peningkatan tiga kali ganda dalam keuntungan.
Beliau berkata pengurusan kekayaan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 24 peratus dalam asas dengan peningkatan minat daripada individu berpendapatan tinggi.
"Tahun lepas merupakan tahun penentuan bagi Labuan IBFC yang menggambarkan daya tahan dan kerelevanannya di arena antarabangsa.
"Pertumbuhan berterusan pusat ini turut mengukuhkan kedudukannya sebagai bidang kuasa yang dipercayai dan berwawasan di Asia," katanya.
Nik Mohamed Din berkata sempena ulang tahun ke-35 Labuan IBFC, pusat ini sedang mempertingkatkan usaha untuk memajukan inovasi digital.
Selain itu, ia juga meningkatkan profil antarabangsanya dan memastikan kecemerlangan kawal selia sebagai persediaan untuk penilaian bersama Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) 2024/2025 yang akan datang.
--BERNAMA