JENAYAH & MAHKAMAH

Pesara Swasta Ditahan Miliki Tujuh Senjata Api, 186 Peluru

23/04/2025 08:46 PM

SHAH ALAM, 23 April (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga tempatan kerana memiliki tujuh senjata api dan peluru tanpa lesen di sebuah rumah di Antara Gapi, Serendah, dekat sini pada Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pesara swasta berumur 69 tahun itu ditahan hasil serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ke premis berkenaan kira-kira pukul 5 petang hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemukan tiga senjata api iaitu pistol jenis revolver, selaras senapang dan sepucuk pistol jenis CZ 75 Compact Cal.9 Luger dan 186 peluru pelbagai jenis. 

“Turut ditemukan tiga senjata airsoft menyerupai senjata jenis AK47, M4 RAP4 T68 dan pistol jenis Glock P38 Auto serta sekotak plastik hitam mengandungi taser gun dan dua bateri.

“Suspek juga didapati menggunakan jata kerabat diraja Perak pada kenderaan miliknya dan siasatan mendapati tiada sebarang rekod penerimaan darjah kebesaran, pingat, gelaran atau anugerah daripada institusi diraja terhadap suspek,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata sebuah kereta jenis BMW dan Mitsubishi Triton serta sarung senapang jenis kulit dan sarung pistol menjadi antara barang yang dirampas dalam serbuan terbabit.

Beliau berkata setakat ini, lima saksi telah dirakam keterangan dan suspek direman selama enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 36 Akta Senjata 1960, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963 Pindaan 2016.

Mengulas lanjut, Hussein berkata siasatan mendapati suspek yang tidak memiliki rekod jenayah lampau itu mula menyimpan senjata berkenaan sebagai hobi antara 10 hingga 20 tahun.

“Daripada soal siasat, kita dapati suspek menerima senjata terbabit daripada kenalan dan rakan-rakannya, dan kita percaya ia simpanan peribadi di rumah,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2416037