BERITA TERKINI   Hak-hak negeri perlu dihormati, namun kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah sentiasa diutamakan - Agong | Agong ingatkan setiap perbahasan, keputusan dan undian di Parlimen bakal menentukan masa depan negara | Sistem pendidikan baharu mesti selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Bahasa Melayu diutamakan - Agong | Undang-undang berkaitan keselamatan negara dan ancaman luar wajar diwujudkan segera, pastikan keharmonian semua kaum dan kedaulatan negara - Agong | Bukan hanya penerima rasuah tetapi pemberi dan ejen yang bersubahat turut perlu diambil tindakan - Agong | 

Perjanjian Dua Hala Akan Tingkatkan Pelaburan Bantu Kurangkan Kos Pembangunan Infrastruktur CCUS Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Pemeteraian perjanjian dua hala dengan negara luar berupaya memangkin kemasukan pelaburan untuk membantu menyerap kos pembangunan infrastruktur hab industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Malaysia.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata kerjasama dengan negara luar seperti Singapura, Korea Selatan dan Jepun itu akan menonjolkan Malaysia sebagai hab CCUS di rantau Asia Pasifik.

“Ia seterusnya menyumbang kepada wujudnya sektor perniagaan baharu seperti penawaran perkhidmatan pemerangkapan dan penyimpanan karbon dioksida (CO2) secara kekal,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengenai langkah konkrit dan keseriusan kerajaan dalam membangunkan industri CCUS sebagai sumber pendapatan baharu negara.

Hanifah Hajar berkata kerajaan akan melaksanakan projek rintis aktiviti pemerangkapan CO2 dalam industri besi dan keluli di Kemaman, Terengganu.

Katanya projek itu akan dijadikan panduan dan rujukan untuk melihat potensi CCUS sebagai antara langkah integrasi karbon oleh pihak industri.

“Kerajaan juga merancang untuk membangunkan hab CCUS di kawasan strategik bagi melengkapkan ekosistem yang memberikan kesan limpahan ekonomi di kawasan tersebut,” katanya.

Malaysia mempunyai potensi kapasiti penyimpanan sebanyak 13.3 gigatan, iaitu antara terbesar di rantau ini dan tapak penyimpanan yang ada di Malaysia boleh dimanfaatkan untuk menampung CO2 dari sumber pemerangkapan luar negara.

Pengimportan CO2 dari negara lain boleh mengimbangi kos pembangunan infrastruktur hab CCUS yang tinggi.

-- BERNAMA