BERITA TERKINI   Liga Super: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | Perolehan Gamuda Bhd melonjak kepada RM4.30 bilion bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2026 daripada RM3.90 bilion bagi suku sama tahun kewangan 2025 | Untung bersih Gamuda Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2026 meningkat kepada RM229.52 juta daripada RM218.84 juta pada suku sama tahun kewangan 2025 | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM150 juta baik pulih Baraj Sungai Sarawak - PM Anwar | 

Indeks Bursa Malaysia Ditutup Paras Tertinggi Harian Dipacu Belian Saat Akhir

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi harian pada Khamis selepas pulih daripada kerugian awal, mendorong peningkatan pada jam terakhir dagangan.

Pada 5 petang, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.23 mata kepada 1,711.01 daripada 1,708.78 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 8.09 mata lebih rendah pada 1,700.69 dan merosot ke paras terendah harian 1,694.80 pada sesi pertengahan pagi sebelum kembali mengukuh pada sesi petang menjelang penutupan dagangan.

Bagaimanapun, sentimen keseluruhan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 538 berbanding 529. Sebanyak 525 kaunter tidak berubah, 1,075 tidak diniagakan dan 17 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.01 bilion unit bernilai RM3.53 bilion berbanding 2.70 bilion unit bernilai RM2.78 bilion pada Rabu.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI berada di bawah tekanan pada permulaan dagangan berikutan kemerosotan mendadak sentimen risiko global, namun beransur-ansur pulih dan kembali ke wilayah positif menjelang penutupan apabila aktiviti pembelian pada harga rendah dalam beberapa saham wajaran tinggi indeks.

“Sentimen pelabur pada awal sesi cenderung berhati-hati selepas dua kapal tangki minyak dilaporkan diserang di perairan Iraq, sekali gus memaksa negara itu menggantung operasi di terminal minyaknya.

“Situasi bertambah tegang apabila serangan dron dan peluru tambahan menyasarkan kapal serta infrastruktur pelabuhan di Emiriah Arab Bersatu dan Oman, menimbulkan kebimbangan bahawa gangguan itu boleh menjejaskan laluan perkapalan serantau yang penting serta mengancam eksport tenaga global di luar Selat Hormuz,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga minyak mentah Brent melonjak apabila pasaran bertindak balas terhadap peningkatan risiko gangguan bekalan yang berpanjangan, dengan harga minyak baru-baru ini meningkat melebihi US$100 setong susulan ketegangan yang memuncak dalam konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran.

Minyak mentah Brent kini meningkat 6.40 peratus kepada US$97.87 setong.

Mohd Sedek berkata dalam kalangan saham komponen FBM KLCI, kaunter berkaitan petroleum mendahului kenaikan dengan satu saham minyak dan gas melonjak kira-kira 11 peratus apabila pelabur mengambil posisi dalam kaunter berkaitan tenaga susulan kenaikan harga minyak mentah.

Dari segi serantau, beliau berkata indeks ekuiti Asia kebanyakannya ditutup rendah berikutan ketidaktentuan geopolitik yang menjejaskan keyakinan pelabur.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks penanda aras kekal disokong di atas paras 1,700, dengan peniaga mengambil pendirian berhati-hati susulan peningkatan ketidaktentuan global.

“Pelabur disaran kekal berhati-hati dalam jangka pendek dan mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga hala tuju pasaran menjadi lebih jelas,” katanya sambil menambah FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,690 hingga 1,710 menjelang hujung minggu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank meningkat enam sen kepada RM4.81, Tenaga Nasional naik 16 sen kepada RM14.40 dan IHH Healthcare bertambah 11 sen kepada RM9.10, manakala Maybank susut dua sen kepada RM11.44 dan CIMB turun satu sen kepada RM7.99.

Bagi saham paling aktif, pendatang baharu Pasaran ACE OGX Group susut setengah sen kepada 34.5 sen, AirAsia X naik satu sen kepada RM1.21, Zetrix AI meningkat 4.5 sen kepada 78.5 sen, Lotte Chemical Titan Holding menambah tiga sen kepada 44.5 sen dan Capital A meningkat setengah sen kepada 43 sen.

Dalam kalangan kaunter paling untung, Petronas Chemicals melonjak 46 sen kepada RM4.60, United Plantations meningkat RM1.46 kepada RM33.10, Nestlé naik RM1.20 kepada RM104.10, PPB Group menambah 44 sen kepada RM11.44 dan Batu Kawan meningkat 32 sen kepada RM19.88.

Bagi kaunter paling rugi, Malaysian Pacific Industries susut 18 sen kepada RM29.80, Pineapple Resources turun 22 sen kepada 60 sen, Fraser & Neave Holdings susut 28 sen kepada RM31.70, Pentamaster Corp merosot 18 sen kepada RM2.90 dan VSTecs susut 13 sen kepada RM4.69.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 19.75 mata kepada 12,346.06, Indeks FBM Emas naik 17.67 mata kepada 12,501.81, Indeks FBM Mid 70 bertambah 44.08 mata kepada 17,206.52 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 61.55 mata kepada 12,225.09, manakala Indeks FBM ACE susut 2.91 mata kepada 4,401.77.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 126.21 mata kepada 20,647.11 dan Indeks Tenaga berkurang 0.70 mata kepada 795.74, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.74 mata kepada 176.18 dan Indeks Perladangan melonjak 121.41 mata kepada 8,504.23.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.79 bilion unit bernilai RM3.30 bilion berbanding 1.71 bilion unit bernilai RM2.59 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 837.99 juta unit bernilai RM106.19 juta berbanding 755.37 juta unit bernilai RM91.67 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 380.01 juta unit bernilai RM123.66 juta berbanding 235.57 juta unit bernilai RM99.58 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 283.22 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (313.48 juta), pembinaan (161.17 juta), teknologi (194.74 juta), perkhidmatan kewangan (96.10 juta), hartanah (154.72 juta), perladangan (38.95 juta), amanah pelaburan hartanah (18.14 juta), dana tertutup (10,000), tenaga (327.89 juta), penjagaan kesihatan (91.90 juta), telekomunikasi dan media (35.58 juta), pengangkutan dan logistik (29.03 juta), utiliti (45.94 juta), dan amanah perniagaan (297,300).

-- BERNAMA