Syarikat Malaysia Perlu Pelbagai, Berani Cebur Sektor Berkaitan Ekoran Ketidaktentuan - PwC
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Syarikat Malaysia perlu mempertimbangkan langkah mempelbagaikan usaha dengan menceburi bidang lain yang berkait rapat dengan perniagaan teras, termasuk ekuiti agar dapat memanfaatkan kemahiran selain mengurangkan risiko.
Rakan Pengurusan PwC Soo Hoo Khoon Yean berkata dalam realiti ketidaktentuan semasa, syarikat yang berhasrat meraih untung lebih cenderung berkembang ke dalam sektor berkaitan dengan perniagaan asal berbanding menjalin usaha sama dalam industri asing atau baharu.
“Sebagai contoh, sebuah syarikat minyak dan gas berkemungkinan menceburi bidang tenaga boleh baharu (TBB) manakala pengeluar automotif menyertai bidang berkaitan kenderaan elektrik.
“Ringkasnya, mereka boleh menggunakan kemahiran sedia ada,” katanya sewaktu menjadi tetamu program The Nation Bernama TV bertajuk “What Malaysian Chief Executive Officers Are Really Thinking in 2026’ pada Rabu.
Mengulas cabaran semasa seperti ketidaktentuan harga minyak, Soo Hoo berkata usaha penilaian semula perniagaan lazimnya dirujuk sebagai menangani keperluan segera operasi, termasuk memastikan aliran tunai yang mencukupi.
“Aliran yang saya lihat sekarang adalah syarikat mengetepikan perancangan untuk mengukuhkan lagi usaha mengambil keputusan sebelum melaksanakannya. Anda perlu menumpukan daya tahan pada hari ini kerana sesiapa pun tidak dapat menentukan tempoh sebenar krisis seperti peperangan,” katanya.
Harga minyak telah mencecah lebih US$101 setong pada Khamis walaupun Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengumumkan persetujuan kalangan 32 negara anggotanya bagi pelepasan 400 juta tong minyak simpanan kecemasan.
Setakat petang ini, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global telah meningkat 6.24 peratus kepada US$97.72 setong.
“Masih terlalu awal untuk menentukan sejauh mana krisis semasa itu memberi kesan global secara besar-besaran. Tiada sebarang kepastian mengenai tempoh masa konflik itu ketika landskap tenaga pada masa ini sudah berbeza,” katanya.
Menyentuh aspek keterjaminan makanan, Soo Hoo berkata Malaysia berpotensi berdepan cabaran, bukan setakat pengeluaran tetapi juga dari segi pilihan atau citarasa pengguna memandangkan permintaan tinggi terhadap barangan import mengehadkan pengeluaran tempatan dalam perancangan krisis.
“Isu kita dengan pilihan pengguna ini adalah rakyat Malaysia mahukan barangan import dan (akibatnya) permintaan terhadap produk tempatan tidak memadai.
“Sehubungan itu, kita perlu bertindak untuk memastikan dasar kerajaan dapat menggalakkan barangan tempatan,” katanya.
-- BERNAMA