Niaga Hadapan MSM Meneruskan Kenaikan Susulan Lonjakan Harga Minyak Mentah
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Khamis, meneruskan kenaikan untuk satu hari lagi di tengah-tengah kenaikan harga minyak mentah.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata harga minyak mentah yang lebih tinggi mengukuhkan daya saing minyak sayuran, terutamanya minyak sawit dalam pengeluaran biodiesel, sekali gus meningkatkan sentimen pasaran.
Pada masa ini, harga minyak mentah Brent naik 7.03 peratus kepada US$98.45 setong.
“Sehubungan itu, kami mendapati paras sokongan melebihi RM4,500 satu tan dan paras rintangan pada RM4,650 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group Commodity yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata prestasi MSM yang positif adalah sejajar dengan momentum kenaikan niaga hadapan minyak kacang soya di Chicago Board of Trade.
Beliau berkata trend kenaikan harga tenaga yang berterusan dan perbincangan baharu mengenai daya maju mandat biodiesel B50 Indonesia turut membantu MSM mengukuh.
“Bagaimanapun, ketiadaan pasaran destinasi yang berterusan dan pertumbuhan pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi daripada jangkaan bagi 10 hari pertama Mac 2026, walaupun dalam musim Ramadan, dilihat mengehadkan kadar kenaikan niaga hadapan MSM,” tambahnya.
Pada penutup dagangan, kontrak Mac, April dan Ogos 2026 masing-masing meningkat RM40 kepada RM4,425, RM4,511 dan RM4,480 satu tan.
Kontrak Mei 2026 bertambah RM42 kepada RM4,541 satu tan, manakala kontrak Jun dan Julai 2026 masing-masing naik RM43 kepada RM4,536 dan RM4,514 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 137,656 lot daripada 94,388 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 229,441 kontrak daripada 224,565 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan menokok RM60 kepada RM4,500 satu tan.
-- BERNAMA