BERITA TERKINI   Piala Malaysia: Kelantan Red Warrior FC 0-2 DPMM FC | Piala Malaysia: Melaka FC 2-2 Sabah FC | Banjir di Sarawak pulih sepenuhnya, PPS terakhir di Balai Raya Sebauh, Bintulu ditutup 4 petang tadi - JPBN Sarawak | Piala Malaysia: Imigresen FC 0-0 Negeri Sembilan FC | 

Kadar SAC Dan CAC Diselaras, Pacu Akses Bekalan Elektrik Hijau Pengguna Korporat

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Kerajaan menetapkan supaya kadar Caj Akses Sistem (SAC) dan Caj Akses Komuniti (CAC) untuk Tempoh Regulatori Ke-4 diselaraskan, seiring dengan pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang lebih telus dan progresif.

SAC dan CAC masing-masing ialah kadar caj akses bagi Program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM), yang diperkenalkan kerajaan bagi meningkatkan lagi capaian syarikat korporat kepada bekalan elektrik hijau.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kadar SAC dan CAC baharu itu telah menurun hingga 40 peratus berbanding nilai sebelum ini. 

"Oleh itu, kadar SAC dan CAC baharu ini dijangka berupaya menarik lebih ramai penyertaan pengguna korporat untuk mendapat bekalan elektrik hijau pada kos yang lebih kompetitif," menurut PETRA.

Bagi program CRESS, kadar pembekalan firm ditetapkan pada 20 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWj), manakala pembekalan non-firm, kadarnya ialah 40 sen/kWj.

Sementara itu, program CREAM menawarkan kadar seragam, iaitu kedua-dua kategori pembekalan firm dan non-firm yang ditetapkan pada kadar 9 sen/kWj.

PETRA memaklumkan pihaknya yakin bahawa penambahbaikan itu akan membolehkan lebih banyak syarikat korporat mendapat akses bekalan elektrik hijau dalam memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus masing-masing.

"Langkah ini akan menyokong aspirasi negara untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) dalam perbekalan elektrik negara menjelang 2050, sekali gus memenuhi tanggungjawab kepada generasi masa kini dan akan datang, sejajar dengan prinsip utama Malaysia MADANI," menurut PETRA.

-- BERNAMA