BERITA TERKINI   APG 2025: Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin raih emas pertama Malaysia dalam ujian masa berbasikal lebuh raya individu | Dasar Industri Pertahanan Negara tumpu pemantapan ekosistem, rantaian bekalan, daya saing global dan eksport - PM Anwar | APG 2025: Skuad bola keranjang kerusi roda 3x3 lelaki negara raih pingat pertama kontinjen Malaysia, menang pingat gangsa | Dasar Industri Pertahanan Negara langkah strategik bangunkan industri pertahanan tempatan, kurangkan kebergantungan pihak luar - Mohamed Khaled | Dewan Rakyat: Sebanyak 12,509 permohonan dokumen pengenalan diri di Sarawak diselesaikan setakat ini - Saifuddin Nasution | 

Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan Malaysia Naik 0.3 Peratus Pada Suku Ketiga - DOSM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) Malaysia meningkat perlahan sebanyak 0.3 peratus kepada 115.8 pada suku ketiga 2024 berbanding 0.7 peratus pada suku tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks kesenian, hiburan dan rekreasi meningkat 5.4 peratus pada suku ketiga 2024 berbanding 7.7 peratus pada suku sebelumnya, disumbangkan oleh aktiviti hiburan dan rekreasi lain (0.9 peratus).

“Indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman kekal meningkat 2.4 peratus (suku kedua 2024: 2.4 peratus) disebabkan oleh aktiviti perkhidmatan minuman (3.7 peratus) dan restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (2.5 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, indeks pendidikan meningkat 0.8 peratus, disumbangkan oleh pendidikan menengah (1.7 peratus) manakala indeks kesihatan meningkat 0.3 peratus.

“Aktiviti profesional dan hartanah masing-masing meningkat sebanyak 0.2 peratus dan 0.1 peratus,” katanya.

Sebaliknya, indeks pengangkutan menurun 2.0 peratus (suku kedua 2024: -1.4 peratus), disebabkan terutamanya oleh indeks pengangkutan penumpang udara (-8.1 peratus). 

“Selain itu, indeks maklumat dan komunikasi terus turun 0.1 peratus (suku kedua 2024: -0.1 peratus) disebabkan oleh indeks aktiviti telekomunikasi tanpa wayar (-0.2 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata bagi perbandingan suku tahunan, IHPRP meningkat 0.1 peratus berbanding penurunan 0.1 peratus pada suku kedua 2024 disebabkan terutamanya oleh indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman dan kesenian, hiburan dan rekreasi, di mana kedua-dua indeks mencatatkan peningkatan 0.9 peratus.

Selain itu, indeks pendidikan turut meningkat 0.2 peratus manakala indeks kesihatan, profesional dan maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah.

“Bagaimanapun, indeks pengangkutan dan aktiviti hartanah masing-masing turun 0.6 peratus dan 0.5 peratus,” katanya.

-- BERNAMA