BERITA TERKINI   Lembaga Disiplin JPA akan bermesyuarat berhubung hasil laporan siasatan isu pemilikan saham KP SPRM dalam masa terdekat - KSN | Kenaikan gred pembantu tadbir Gred 1 kepada Gred 5 dilaksana secara berperingkat, ambil kira pelbagai syarat kelayakan - KSN | Harga minyak mentah Brent turun kepada US$94.22 setong hari ini berbanding paras tertinggi semalam pada US$118.60 setong | Konflik Asia Barat: KPDN tingkat pemantauan risiko penyeludupan bahan api di sempadan negara - Armizan | Skim Harga Maksimum Musim Perayaan berkuat kuasa 14-28 Mac, libatkan 27 jenis barangan - Armizan | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Lebih Tinggi Menjejaki Minyak Kacang Soya CBOT

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives pulih untuk ditutup lebih tinggi pada Rabu, menjejaki kenaikan dalam niaga hadapan minyak kacang soya Chicago Board of Trade (CBOT) semalaman.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata prospek eksport yang lebih baik dan unjuran pengeluaran yang lebih lemah juga meningkatkan sentimen untuk tanaman berharga ini.

"Anggaran eksport menunjukkan peningkatan kadar eksport pada bulan ini manakala tinjauan pengeluaran menunjukkan hasil pengeluaran lebih lemah yang mungkin mengurangkan tahap stok simpanan seluruh negara.

"Oleh itu, ia dilihat menyokong harga untuk niaga hadapan MSM," katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Ng meramalkan paras sokongan pada RM4,280 setiap tan dan paras rintangan pada RM4,450 setiap tan.

Pada penutup dagangan hari ini, kontrak bulan semerta November 2024 meningkat RM60 kepada RM4,372 setiap tan, Disember 2024 berkembang RM63 kepada RM4,335 setiap tan dan Januari 2025 melonjak RM72 kepada RM4,311 setiap tan.

Sementara itu, Februari 2025, Mac 2025 dan April 2025 meningkat RM71 masing-masing kepada RM4,278, RM4,240 dan RM4,200 setiap tan.

Jumlah dagangan bertambah kepada 118,488 lot daripada 95,406 lot semalam manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 250,999 kontrak daripada 248,273 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM untuk Oktober Selatan menokok RM30 kepada RM4,430 setiap tan.

-- BERNAMA