BERITA TERKINI   PRN Johor: Rundingan kerusi antara parti komponen dalam PH selesai - Saifuddin Nasution | Sebanyak 1,000 penempatan biasiswa bernilai RM18 juta akan ditawarkan kepada lepasan TVET tempatan di bawah MCIEA - Ahmad Zahid | Malaysia-China Industry-Education Alliance (MCIEA) perkukuh latihan berpacukan industri dan pemindahan teknologi antara dua negara - Ahmad ZahidĀ  | Pendaki wanita Jaslinda Saludin yang hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih ditemui selamat - Bomba | Saifuddin Nasution dan Zaliha Mustafa dilantik sebagai Naib Presiden PKR - Fahmi Fadzil | 

Syarikat Perkapalan Tangguh Surcaj Kesesakan Pelabuhan Kontena Sapangar - Ewon

PENAMPANG, 16 Mei (Bernama) -- Syarikat perkapalan bersetuju untuk menangguhkan cadangan pelaksanaan surcaj kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) susulan siri libat urus dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET).

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick berkata keputusan itu dicapai hasil rundingan berterusan antara kementerian itu dengan syarikat perkapalan serta persatuan pengguna pelabuhan terbabit.

“Dalam minggu ini sahaja, saya mengadakan tiga pertemuan dengan syarikat perkapalan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Oleh kerana mereka yakin dengan perkara yang kita lakukan di lapangan, kesemua syarikat terbabit memaklumkan secara rasmi untuk menangguhkan cadangan tersebut," katanya di sini, hari ini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang di Buhavan Square di sini.

Beliau menyifatkan penangguhan itu sebagai satu kejayaan besar buat kerajaan negeri memandangkan pelaksanaan surcaj kesesakan itu akan memberikan kesan rantaian yang membebankan pengguna pada akhirnya.

"Kalau diteruskan, kita sebagai pengguna akhir yang akan menanggung kosnya. Selepas diputuskan untuk tidak diteruskan, saya yakin kita kini boleh fokus kepada kecekapan tadbir urus dan operasi di pelabuhan," katanya.

Beliau berkata bagi merealisasikan kecekapan tersebut, pengendali pelabuhan kini telah memperkenalkan inisiatif baharu yang dikenali sebagai Program “Berthing Window”.

Program itu dirangka khusus bertujuan meningkatkan kecekapan operasi logistik maritim, sekali gus mengurangkan masalah kesesakan kapal yang berlabuh di SBCP.

Dalam pada itu, Ewon menegaskan kerajaan negeri tidak pernah berdiam diri dalam menangani isu kesesakan di pelabuhan kontena Sepanggar yang kini menjadi tumpuan awam.

"Dari Februari lepas, kita telah membentuk satu pasukan petugas dan hampir setiap minggu kita memantau  pelaksanaan langkah-langkah pelan tindakan yang telah dipersetujui oleh Kabinet negeri," katanya.

Beliau berkata isu itu diharapkan dapat diselesaikan segera demi ekonomi negeri, dan menyeru semua pihak di Penampang tanpa mengira latar belakang politik untuk terus bersatu, sejajar dengan pelan hala tuju Sabah Maju Jaya.

-- BERNAMA