Inisiatif Pembiayaan Mikro Madani Perkukuh Daya Tahan Ekonomi Harungi Ketidaktentuan
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Inisiatif pembiayaan mikro oleh Kerajaan MADANI memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia ketika tempoh ketidaktentuan geopolitik dengan mengekalkan mudah tunai dan menyokong aktiviti ekonomi domestik, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi, IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata pembiayaan mikro bertindak sebagai penstabil ekonomi bersasar.
Beliau berkata inisiatif itu dapat membantu mengurangkan kesan tekanan ekonomi daripada menular lebih parah ke dalam operasi perniagaan, terutama PKS yang mempunyai penampan kewangan yang terhad.
“Ketika kos operasi meningkat disebabkan kenaikan harga minyak global dan ketidaktentuan dasar perdagangan yang terus menekan perniagaan, banyak PKS kini menghadapi margin keuntungan yang semakin mengecil serta keadaan aliran tunai yang kian tidak menentu.
“Oleh itu, akses kepada pembiayaan membolehkan perniagaan (terutama PKS) mengekalkan aliran tunai, meneruskan operasi dan mengelakkan gangguan berlebihan terhadap guna tenaga serta aktiviti pelaburan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata impak daripada pembiayaan mikro dipertingkatkan dengan peningkatan penggunaan tempatan lebih tinggi dan kitaran ekonomi di peringkat masyarakat, yang menjadi semakin penting ketika keadaan pertumbuhan luaran kekal tidak menentu.
“Pembiayaan mikro memberikan fleksibiliti modal kerja yang lebih pantas kepada perniagaan, sekali gus membolehkan PKS mengurus pembayaran kepada pembekal, kos logistik, pengisian semula inventori, tanggungjawab pembayaran gaji tanpa mengganggu operasi secara serius serta menambah baik keupayaan penyesuaian perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata akses kepada pembiayaan dan kredit amat penting sekiranya berlaku sebarang kejutan ekonomi negatif.
Beliau berkata usaha kerajaan menyediakan akses pembiayaan kepada perniagaan merupakan tindak balas dasar yang tepat, dan PKS akan mempunyai ruang untuk membiayai semula obligasi kewangan sedia ada dengan memanfaatkan kadar pembiayaan kompetitif yang ditawarkan oleh skim kerajaan.
“Program pembiayaan sedemikian akan memberi sedikit ruang kelegaan kepada perniagaan memandangkan kenaikan kos bahan api boleh menjejaskan margin keuntungan mereka. Perniagaan juga boleh melabur dalam perancangan sumber perusahaan (ERP) bagi menyepadukan kewangan, perolehan, inventori, modal insan dan operasi dalam satu sistem.
“Selain itu, tambahan modal daripada pinjaman tersebut juga membolehkan perniagaan mempertimbangkan pelaburan dalam pendigitalan supaya operasi perniagaan menjadi lebih cekap dan menjimatkan kos,” katanya.
Pada Khamis, Kerajaan MADANI melalui Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi tahun ini yang dijangka memberikan manfaat kepada lebih 400,000 usahawan mikro di seluruh negara menerusi pinjaman sehingga RM100,000.
Menurut MOF pelbagai skim pembiayaan akan disalurkan melalui agensi dan institusi kewangan pembangunan seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Simpanan Nasional (BSN), TEKUN Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Agrobank dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat).
Kerajaan telah menyediakan lebih RM15 bilion sokongan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tahun ini, termasuk Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS bernilai RM5 bilion di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) serta kemudahan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).
-- BERNAMA