Kos Tinggi Lonjak Prospek Protein Berasaskan Mikrob Sebagai Makanan Alternatif Ternakan
Daripada Nurunnasihah Ahmad Rashid
ALMETYEVSK (Russia), 16 Mei (Bernama) -- Memandangkan rantaian bekalan pertanian dan agromakanan global berdepan peningkatan kos serta ketidakpastian bekalan, produk protein alternatif kini muncul sebagai bidang pertumbuhan yang berpotensi, khususnya dalam sektor makanan ternakan.
Dalam hal ini, kumpulan Tatneft dari Rusia sedang mengetengahkan makanan protein berasaskan mikrob yang dibangunkan oleh anak syarikat bioteknologinya, TN Bioprotein LLC, sebagai alternatif yang berpotensi dengan menawarkan kos lebih rendah dan lebih mampan berbanding makanan haiwan berasaskan soya konvensional.
Pengarah TN Bioprotein Hakimov Rigel berkata menerusi kilang perintisnya di sini, produk itu yang dihasilkan menggunakan gas asli dan teknologi penapaian mikrob, dijangka dapat menyokong permintaan terhadap makanan haiwan dalam industri penternakan dan akuakultur.
Beliau berkata pihaknya mendapati potensi jangka panjang yang kukuh untuk produk protein mikrob memandangkan industri makanan ternakan global kini sedang mencari alternatif yang lebih cekap.
"Protein klasik yang digunakan di pasaran ialah soya. Produk kami adalah lebih baik dari segi komposisi asid amino dan protein, selain ia lebih mudah dihadam oleh haiwan," katanya kepada Bernama semasa lawatan media yang dianjurkan oleh Kumpulan Visi Strategik ‘Rusia-Dunia Islam’ di Almetyevsk, Tatarstan, baru-baru ini.
Lawatan media itu diadakan sempena Forum Ekonomi Antarabangsa Ke-17 ‘Rusia-Dunia Islam: KazanForum 2026’, dari 12 hingga 17 Mei.
Rigel berkata berbeza dengan penanaman soya konvensional, pengeluaran protein mikrob memerlukan kawasan tanah pertanian yang jauh lebih kecil dan boleh dihasilkan secara berterusan menggunakan metana yang diperoleh daripada gas asli, sekali gus berpotensi menawarkan penyelesaian yang lebih mampan untuk industri makanan ternakan pada masa hadapan.
"Dianggarkan sebanyak 30,000 tan bioprotein dapat menyokong keperluan makanan ternakan yang dikaitkan dengan pengeluaran makanan untuk antara enam juta hingga 10 juta orang setiap tahun.
“Walaupun masih di peringkat awal pengkomersialan, akuakultur kini merupakan antara sektor yang menunjukkan minat paling kukuh terhadap produk ini,” katanya.
Rigel berkata protein mikrob tersebut telah memasuki pasaran Rusia pada tahun lepas menerusi kilang pengeluaran syarikat, dengan usaha kini ditumpukan untuk memperluas kapasiti pengeluaran domestik sebelum memasuki pasaran antarabangsa.
Beliau berkata kilang pengeluaran berskala besar syarikat itu pada masa hadapan yang akan dibangunkan di Nizhnekamsk, Tatarstan dijangka mampu menghasilkan sehingga 30,000 tan setahun apabila siap 2029, berbanding kapasiti kilang perintis sedia ada yang mengeluarkan sekitar 1,000 tan.
Rigel menekankan bahawa produk itu telah menerima pensijilan halal di Rusia, yang berpotensi menyokong peluasan pasaran pada masa hadapan ke pasaran majoriti Muslim, termasuk Asia Tenggara dan Timur Tengah.
“Teknologi ini dikesan berasal daripada penyelidikan era Soviet pada 1960-an, ketika para sains menerokai pengeluaran makanan protein berasaskan hidrokarbon untuk menangani masalah kekurangan makanan ternakan yang berkualiti tinggi.
“Bagaimanapun, dengan sistem automasi moden, kajian keselamatan yang dipertingkat dan proses pengeluaran yang ditambah baik telah menaik taraf teknologi ini secara signifikan berbanding pembangunan awal di era Soviet,” tambah beliau.
-- BERNAMA