BERITA TERKINI   Jangan ada pandangan serong terhadap kementerian dan pasukan keselamatan, tindakan undang-undang hanya diambil kepada pegawai terlibat - PM Anwar | Semua keputusan perolehan ATM, PDRM yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya - PM Anwar | Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.7 peratus pada suku keempat 2025, disokong oleh prestasi sektor utama ekonomi yang memberangsangkan dan permintaan domestik yang kukuh - DOSM | KDNK suku keempat 2025 dijangka tunjuk pertumbuhan positif - Akmal Nasrullah | 

Malaysia Amal Perdagangan Terbuka, Terdedah Kepada Kesan Ketidaktentuan Ekonomi Global - Rafizi

KOTA KINABALU, 5 Okt (Bernama) -- Rakyat perlu memahami bahawa Malaysia adalah negara yang mengamalkan perdagangan terbuka dan terdedah kepada kesan daripada ketidaktentuan ekonomi dunia, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Bagaimanapun, katanya mengamalkan perdagangan terbuka mempunyai kelebihannya apabila Malaysia menjadi antara 20 negara perdagangan terbesar di dunia.

“Oleh itu, sebagai sebuah negara perdagangan, hasil kita sebenarnya bergantung kepada barangan yang dieksport sama ada elektronik, sawit, petroleum dan sebagainya.

“Kita akan terus terdedah kepada perkara yang berada di luar kawalan kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada ekonomi Malaysia akan terjejas ekoran ketidaktentuan ekonomi global pada masa ini.

Rafizi, yang juga Timbalan Presiden PKR berkata walaupun Malaysia tidak ada kaitan secara terus dengan isu kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, ekonomi Malaysia boleh dipengaruhi kerana mengamalkan perdagangan terbuka.

“Contohnya peperangan di Ukraine dan Gaza (Palestin) akan memberi kesan. Terbaharu, serangan Israel ke atas Lubnan, kemudian serangan balas Iran ke atas Israel dan sekarang dunia sedang menunggu apa tindak balas Israel.

“Setiap kali ada pergolakan geopolitik, pengurus dana di seluruh dunia perlu ambil tindakan untuk melindungi pelaburan mereka.

“Apabila ada konflik, amalan biasa pengurus dana ialah mereka akan memindahkan wang daripada instrumen pelaburan sedia ada kepada instrumen tradisional, konvensional dan paling selamat seperti emas,” katanya.

Sehubungan itu, Rafizi berkata Malaysia perlu mengubah struktur ekonomi untuk memastikan tatakelola kewangan yang kukuh.

“Ini supaya kita ada rizab dan kemampuan kewangan yang besar untuk kita menghadapi perkara ini. Di peringkat Persekutuan, kita selalu sebut, kita perlu melalui perubahan fiskal untuk mengukuhkan fiskal,” katanya.

-- BERNAMA