BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Padini Mulakan Semakan Dalaman Berhubung Pembekuan Akaun Oleh SPRM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Peruncit pakaian, Padini Holdings Bhd telah memulakan semakan dalaman bagi menilai keadaan berhubung pembekuan beberapa akaun bank yang dikenal pasti milik syarikat dan anak syarikatnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan berdasarkan maklumat yang ada setakat ini, perintah berkenaan dikeluarkan oleh SPRM berhubung siasatan yang sedang dijalankan melibatkan beberapa pihak ketiga luar kumpulan, yang bukan pekerja, pegawai atau sebahagian daripada pengurusan syarikat.

“Syarikat ingin menegaskan bahawa berdasarkan maklumat semasa, kami tidak mengetahui sebarang dakwaan atau salah laku di pihak syarikat dan memahami bahawa pembekuan akaun tersebut merupakan satu prosedur yang diambil dalam perjalanan siasatan,” menurut kenyataan itu.

Padini memaklumkan pihaknya telah melantik penasihat undang-undang luar bagi memberikan nasihat berhubung perkara tersebut serta sedang mengambil langkah-langkah yang perlu, termasuk memohon relif sewajarnya bagi tujuan penyahbekuan akaun yang terlibat.

Syarikat itu turut menegaskan bahawa operasi harian kumpulan kekal berfungsi seperti biasa tanpa sebarang gangguan, dengan perniagaan diteruskan seperti biasa.

Padini memaklumkan syarikat akan memberikan kemas kini lanjut dari semasa ke semasa sekiranya terdapat sebarang perkembangan material.

Dalam masa yang sama, syarikat menegaskan komitmen untuk terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan serta memastikan ketelusan sepanjang proses siasatan.

Semalam, Padini dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan bahawa SPRM telah membekukan beberapa akaun bank yang dikenal pasti milik syarikat dan anak syarikatnya di bawah satu perintah yang dikeluarkan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

-- BERNAMA