BERITA TERKINI   Liga Super: PDRM FC 0-5 Imigresen FC | Agenda transformasi digital negara mesti beri manfaat kepada majoriti rakyat, bukan tumpu segelintir golongan - PM Anwar | Pelantikan Abdul Halim sebagai KP SPRM bagi tempoh dua tahun - PM Anwar | Abdul Halim sesuai mengetuai SPRM kerana latar belakang kehakiman bukan daripada bidang perniagaan atau politik - PM Anwar | Piala Uber: Malaysia 1 Turkiye 0: K. Letshanaa kalahkan Neslihan Arin 21-16, 13-21, 21-13 | 

Niaga Hadapan Emas Dijangka Kekal Berhati-hati Minggu Depan Di Tengah-tengah Perang Asia Barat

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Niaga hadapan emas dijangka kekal berhati-hati dalam jangka pendek susulan ketiadaan perkembangan positif dalam peperangan di Asia Barat yang menyebabkan harga minyak mentah meningkat secara beransur-ansur.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perkara ini memberi gambaran bahawa kadar inflasi mungkin menjadi lebih tinggi.

Beliau berkata rasional bagi kenaikan harga emas semakin jelas memandangkan risiko kenaikan inflasi menunjukkan bahawa memegang lebih banyak emas boleh berfungsi sebagai lindung nilai terhadap bahan komoditi itu.

Namun begitu, harga emas telah membuat pembetulan selepas mencecah US$5,500 setiap auns pada Januari 2026.

"Buat masa ini, harga emas berlegar-legar sekitar US$4,500 hingga US$4,900 setiap auns. Dengan sentimen semasa, harga emas semerta dijangka turun naik sekitar US$4,600 hingga US$4,700 setiap auns pada minggu depan," kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Berdasarkan asas minggu ke minggu, kontrak bulan semerta April 2026 turun kepada US$4,697.70 setiap auns troy pada Jumaat daripada US$4,868.00 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.

Kontrak Mei 2026 merosot kepada US$4,720.20 setiap auns troy daripada US$4,836.20 setiap auns troy.

Kontrak Jun, Julai, dan Ogos 2026 menurun kepada US$4,735.70 setiap auns troy daripada US$4,854.70 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan berkurang sedikit kepada 58 lot daripada 60 lot manakala kepentingan terbuka susut kepada 74 kontrak pada Jumaat berbanding 87 kontrak pada minggu sebelumnya.

Emas fizikal ditetapkan pada US$4,719.15 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 23 April, 2026.

-- BERNAMA