WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Anak Panda Gergasi Pertama Lahir Di Indonesia Mula Dipamer Kepada Awam

31/05/2026 05:08 PM

JAKARTA, 31 Mei (Bernama-Xinhua) -- Taman Safari Indonesia (TSI) secara rasmi memperkenalkan Rio, anak panda gergasi pertama yang dilahirkan di negara itu, kepada orang ramai di Bogor, selatan Jakarta pada Sabtu, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut kenyataan TSI, penampilan sulung itu dibuat susulan penilaian komprehensif oleh pasukan Sains Hayat dan Veterinar TSI, dengan kerjasama pakar dari Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Panda Gergasi China.

Pasukan berkenaan mengesahkan bahawa Rio telah mencapai semua perkembangan fizikal dan tingkah laku yang diperlukan.

Dilahirkan pada 27 Nov 2025 dengan berat hanya 200 gram, anak panda jantan itu kini membesar dengan sihat dan seberat 11 kilogram pada usia 184 hari.

"Rio kini mampu berjalan sendiri, berinteraksi aktif dengan ibunya, Hu Chun, dan mula makan rebung buluh sebagai sebahagian daripada peralihan pemakanan yang diuruskan dengan teliti di bawah pengawasan profesional yang berterusan," menurut kenyataan itu.

Bagi memastikan kesejahteraannya, TSI menguruskan penampilan awam Rio secara berperingkat dan dalam tempoh masa terkawal, selaras dengan piawaian kebajikan haiwan antarabangsa.

Sebagai satu-satunya anak panda gergasi yang dilahirkan di luar China dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, "kelahirannya mewakili sumbangan penting kepada kerjasama pemuliharaan antarabangsa di samping memperkukuh peranan Indonesia dalam rangkaian pemuliharaan panda gergasi global," kata kenyataan itu.

"Pencapaian ini juga menandakan satu mercu tanda penting dalam pembangunan program pemuliharaan ex-situ di Indonesia," katanya.

--BERNAMA-XINHUA  

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan