MELAKA, 31 Mei (Bernama) -- Penerbangan dua hala laluan Melaka-Pekanbaru, Indonesia menerusi syarikat penerbangan tambang murah Indonesia, Wings Air akan disambung semula di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAM) Batu Berendam di sini pada 10 Jun ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata syarikat penerbangan milik Lion Air Group itu menawarkan kekerapan penerbangan tiga kali seminggu iaitu pada Rabu, Jumaat dan Ahad.
Beliau berkata pengaktifan laluan berkenaan dijangka menyumbang kepada peningkatan kedatangan pelancong bagi subsektor pelancongan kesihatan menerusi empat hospital swasta di Melaka.
"Saya dimaklumkan kira-kira 50 peratus daripada kapasiti penumpang yang menaiki pesawat berkenaan adalah pelancong yang ingin mendapatkan rawatan atau pemeriksaan kesihatan di hospital swasta yang ada di negeri ini.
"Hospital swasta yang ada di Melaka menjadi pilihan kebanyakan rakyat dari Indonesia kerana kita mempunyai ramai doktor pakar yang diyakini selain fasiliti perubatan yang canggih serta terkini," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Riuh Ria @ Banda Hilir 2026 yang turut dihadiri Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (Tourism Melaka) Nasrul Ahmad.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata kerajaan negeri juga sedang melakukan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan bagi membuka laluan ke destinasi lain dari LTAM.
Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini, penerbangan dua hala Melaka-Singapura yang ditawarkan syarikat penerbangan tambang murah milik Singapore Airlines, Scoot masih beroperasi di LTAM dengan kekerapan tiga kali seminggu.
"Sambutan bagi penerbangan ke destinasi berkenaan sangat menggalakkan dengan kira-kira 85 peratus daripada kapasiti penumpang menaiki pesawat tersebut bagi setiap penerbangan yang ditawarkan," katanya.
Sementara itu, Nasrul berkata Program Riuh Ria @ Banda Hilir merupakan produk pelancongan baharu yang dianjurkan bersempena cuti panjang bagi memeriahkan sektor pelancongan negeri menerusi pelbagai aktiviti menarik.
Beliau berkata bagi edisi pertama program itu, ia dianjurkan selama dua hari bermula Jumaat dan antara aktiviti yang dianjurkan ialah pertandingan sukan rakyat seperti dam aji, baling tin, boling kelapa dan “chapteh” selain persembahan kesenian dan kebudayaan.
"Dalam tempoh dua hari itu, kita sasarkan jumlah pengunjung yang hadir ke kawasan Banda Hilir, khususnya di sekitar bangunan merah ini melebihi 10,000 orang," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial