MAKKAH, 31 Mei (Bernama-SPA) -- Tetamu Program Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci bagi Haji, Umrah dan Ziarah yang dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi bertolak dari Makkah menuju Madinah, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Mereka bertolak selepas selesai menunaikan ibadah haji tahun ini dalam suasana kerohanian yang penuh dengan ketenangan dan kedamaian, dengan sokongan sistem perkhidmatan dan penjagaan komprehensif yang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi kepada jemaah.
Jemaah haji yang menjadi tetamu program itu, mewakili 104 negara dari seluruh dunia, menyatakan kepuasan mendalam selepas berjaya menyempurnakan ibadah haji, bermula dengan wukuf di Arafah, berangkat ke Muzdalifah, bermalam di Mina serta melontar Jamrah sepanjang hari tasyrik, sebelum mengakhiri ibadah dengan tawaf wadak.
Mereka menyatakan bahawa pengurusan yang teliti dan perkhidmatan komprehensif yang dinikmati membolehkan mereka menunaikan ibadah dengan mudah dan selesa.
Mereka turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman atas perhatian dan layanan yang diberikan kepada jemaah haji.
Mereka turut memuji kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan kerajaan Arab Saudi, yang menyumbang kepada kejayaan perjalanan rohani mereka serta membolehkan ibadah dilaksanakan dengan selamat, yakin dan tenang.
-- BERNAMA-SPA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial