Oleh Arthur Edward
KOTA KINABALU, 31 Mei (Bernama) -- Peningkatan bayaran geran khas interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion berkuat kuasa tahun ini disifatkan sebagai anjakan besar dalam menterjemahkan semangat tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada realiti pembangunan yang lebih inklusif.
Penyelidik Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeoPES) Prof Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata langkah proaktif itu mencerminkan keikhlasan politik yang tinggi daripada kerajaan Persekutuan bagi merapatkan jurang kemajuan antara wilayah.
Beliau berkata ia merupakan satu usaha bersungguh-sungguh untuk merapatkan jurang pembangunan yang sekian lama memisahkan wilayah Borneo, khususnya Sabah dengan Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata dana berkenaan bukan sahaja memperkasakan autonomi kewangan negeri, malah membina semula kepercayaan rakyat terhadap komitmen kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan perkongsian hasil secara lebih adil dan telus.
"Ia juga menjadi isyarat jelas bahawa semangat perkongsian kuasa dan hasil bumi kini dilaksanakan secara lebih adil, telus serta berkesan demi kesejahteraan masa depan negara," katanya kepada Bernama.
Syahruddin turut menyarankan agar peruntukan besar itu diutamakan bagi menangani isu prasarana warisan yang mendesak seperti bekalan air bersih, kestabilan grid elektrik serta rangkaian jalan raya menerusi pelan pemulihan yang menyeluruh.
Selain infrastruktur asas, beliau berkata dana berkenaan wajar dimanfaatkan untuk menaik taraf sekolah daif, pemerkasaan klinik kesihatan desa serta program pembasmian kemiskinan tegar luar bandar.
Beliau menyifatkan kejayaan fasa awal itu membuktikan bahawa rundingan berasaskan fakta mampu menghasilkan penyelesaian konstruktif, sekali gus membuka ruang kepada pemuktamadan formula tuntutan 40 peratus hasil Sabah kelak.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Romzi Ationg berkata lonjakan bayaran interim itu mencerminkan kesungguhan untuk mencari titik persamaan dan membina kepercayaan yang lebih kukuh dalam proses perundingan hak-hak Sabah yang sedang berlangsung.
"Komitmen politik berterusan serta kesediaan kedua-dua pihak untuk berunding berlandaskan semangat federalisme yang matang amat penting dalam mencapai penyelesaian yang lebih menyeluruh, adil dan mampan," katanya.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan pula berkata pengumuman itu adalah hasil keberkesanan pendekatan diplomasi dan hubungan akrab antara kerajaan negeri dengan pusat.
Beliau berkata kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya menterjemahkan kerjasama erat tersebut kepada manfaat langsung yang dapat dinikmati rakyat.
“Perjuangan menuntut hak Sabah tidak seharusnya bersandarkan sentimen emosi semata-mata, sebaliknya melalui pencapaian konstruktif yang berasaskan penelitian perundangan dan kewangan yang teliti.
"Pendekatan yang memilih jalan rundingan, kebijaksanaan serta kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan terbukti langkah yang paling tepat," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Penampang mengumumkan kenaikan geran tersebut sebagai langkah interim sementara menunggu formula serta kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Sebelum tahun 2022, Sabah hanya menerima pemberian khas sekitar RM26.7 juta setahun bagi tempoh yang lama, sebelum jumlah itu dinaikkan secara berperingkat sebagai bukti komitmen berterusan Kerajaan MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial