KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia sembilan tahun maut, selepas terjatuh dari tingkat 13 sebuah apartmen di Taman Cahaya, Ampang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang wanita tempatan pada 7.45 malam, yang menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Siasatan awal pihak polis mendapati kanak-kanak tersebut dipercayai ditinggalkan bersendirian di dalam rumah ketika kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Ampang.
Susulan insiden itu, Khairul Anuar berkata polis telah merakam keterangan lima individu terdiri daripada ibu bapa dan ahli keluarga mangsa, serta saksi awam bagi membantu siasatan.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001, kerana pengabaian terhadap kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial