WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sabah Harap Bayaran Interim RM1.5 Billion Disalur Segera Demi Manafaat Rakyat

31/05/2026 11:57 AM

KOTA KINABALU, 31 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan pengumuman bayaran geran khas interim sebanyak RM1.5 bilion kepada negeri itu dan berharap dana berkenaan dapat disalurkan segera demi manfaat rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam amat dihargai, di samping menyambut baik jaminan Anwar untuk terus menghormati dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan menunaikan apa yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hajiji berkata jaminan yang diberikan Perdana Menteri ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap hak-hak Perlembagaan Sabah.

Beliau menegaskan kerajaan negeri komited untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan semua peruntukan di bawah MA63, khususnya pemberian khas 40 peratus, dapat direalisasikan.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan peningkatan geran khas interim kepada Sabah yang melonjak kepada RM1.5 bilion tahun ini berbanding RM600 juta sebelum ini.

Beliau berkata langkah itu dilaksanakan sebagai penyelesaian sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu dimuktamadkan menerusi perundingan rasmi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan