Oleh Shakir Husain
HYDERABAD, 26 Mei (Bernama) -- Negara Quad Australia, India, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa melancarkan beberapa siri inisiatif untuk mengukuhkan infrastruktur Indo-Pasifik, keselamatan tenaga dan rantaian bekalan mineral kritikal di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan kebimbangan terhadap gangguan kepada laluan perdagangan global.
Bertemu di New Delhi, menteri-menteri luar Quad berikrar untuk kerjasama yang lebih erat mengenai keselamatan tenaga. Mereka mengetengahkan kesan gangguan geopolitik ke atas pasaran global, "terutamanya berkaitan minyak, gas dan produk petrokimia serta barangan keperluan dan derivatif hiliran kritikal seperti baja."
Dalam satu kenyataan bersama, para menteri turut mengumumkan rancangan untuk membangunkan projek pelabuhan perintis di Fiji sebagai sebahagian usaha Quad dalam menyokong infrastruktur pelabuhan strategik di seluruh wilayah Indo-Pasifik.
“Pelan pelabuhan Fiji sejajar dengan keputusan Quad pada persidangan di India tahun lepas untuk mengenal pasti projek yang boleh menyokong perdagangan dengan meningkatkan infrastruktur pelabuhan dan kapasiti untuk koridor utama Indo-Pasifik,” menurut kenyataan itu.
Susulan kebimbangan mengenai risiko terhadap sambungan digital, para menteri berkata pihaknya akan berusaha untuk memastikan "semua negara Forum Pulau Pasifik disambungkan menerusi kabel dasar laut menjelang 2026 untuk menjamin masa depan digital mereka".
Kumpulan itu selanjutnya berkata ia berhasrat untuk menyokong pembangunan rantaian bekalan mineral kritikal yang selamat dan menggerakkan sehingga US$20 bilion dana sektor kerajaan dan swasta untuk aktiviti seperti perlombongan, pemprosesan dan kitar semula.
Sementara itu, menteri luar negara Quad turut menyuarakan sokongan untuk penyelesaian aman konflik Asia Barat dan menekankan kepentingan tenaga dan keselamatan maritim di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan kebimbangan terhadap gangguan kepada laluan perdagangan global.
Para menteri juga membincangkan keselamatan pelayaran di Indo-Pasifik, termasuk situasi Selat Hormuz berikutan perang AS-Israel ke atas Iran, di samping cabaran keselamatan serantau.
“Kami membincangkan situasi di Asia Barat dan mengesahkan sokongan kami terhadap usaha diplomatik yang berterusan dan berharap untuk keamanan berkekalan di rantau itu.
“Kami mengulangi kepentingan mematuhi undang-undang antarabangsa seperti yang dicerminkan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) berkenaan hak dan kebebasan pelayaran, serta keselamatan dan aliran perdagangan global yang tidak terganggu melalui Selat Hormuz dan Laut Merah," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Keempat-empat negara itu turut melahirkan kebimbangan serius terhadap ketegangan dan insiden ketenteraan di Laut China Timur dan Laut China Selatan.
“Kami tetap mengambil berat situasi di Laut China Timur dan Laut China Selatan. Kami mengulangi bantahan keras kami terhadap sebarang tindakan yang tidak stabil atau unilateral termasuk secara paksaan atau ugutan yang mengancam keamanan dan kestabilan di rantau tersebut," menurut kenyataan itu.
Para menteri juga membangkitkan kebimbangan mengenai "tindakan berbahaya dan paksaan", termasuk gangguan terhadap pembangunan sumber luar pesisir, halangan kebebasan navigasi dan penerbangan, dan gerakan tidak selamat yang melibatkan pesawat tentera, pengawal pantai dan kapal militia maritim di Laut China Selatan.
Kumpulan itu seterusnya mengesahkan sokongan pada usaha ASEAN untuk menangani krisis Myanmar dan menyuarakan kebimbangan berhubung kesan konflik ke atas keselamatan serantau dan penyebaran jenayah rentas negara.
“Kami tetap bimbang dengan konflik yang berterusan di Myanmar dan impaknya di rantau itu. Kami mengesahkan sokongan kami terhadap usaha ASEAN dan menyeru agar keganasan dihentikan segera; pembebasan mereka yang ditahan secara tidak adil; persekitaran yang kondusif untuk penyampaian bantuan kemanusiaan; dan dialog antara semua pihak dan kumpulan yang terlibat dalam konflik itu," menurut Quad.
Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar menjadi tuan rumah kepada rakan sejawatannya -- Penny Wong dari Australia, Toshimitsu Motegi dari Jepun, dan diplomat tertinggi AS Marco Rubio -- untuk pertemuan ke-11 di bawah pengaturan "Quad".
Secara berasingan, Jaishankar dan Rubio menandatangani rangka kerja India-AS mengenai "Menjamin Bekalan dalam Perlombongan dan Pemprosesan Mineral Kritikal dan Nadir Bumi".
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial