Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Tokoh bahasa dan persuratan negara Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan menggesa agar peranan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), dihidupkan semula sebagai platform strategik memperkukuh kedudukan bahasa Melayu di persada antarabangsa.
Beliau berkata MABM sebelum ini, berfungsi sebagai nadi penyelarasan gerakan bahasa Melayu di luar negara, dengan menghimpunkan wakil pelbagai rantau termasuk Amerika Utara, Eropah, Asia Timur, Asia Barat, Asia Selatan serta Oceania, bagi melaporkan perkembangan pengajian dan pengajaran bahasa Melayu di setiap wilayah.
“Setiap tahun mereka melaporkan perkembangan Bahasa Melayu di negara masing-masing dan kita bantu dari segi tenaga pengajar, bahan bacaan serta sokongan promosi termasuk bahan digital,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Awang berkata antara kekuatan MABM ialah jaringan institusi pendidikan dan penyelidikan yang aktif, termasuk kerjasama dengan universiti luar negara serta penyelarasan tenaga pengajar bahasa Melayu di pelbagai negara.
Namun, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM itu menzahirkan rasa dukacita apabila kesinambungan program itu terhenti agak lama, sekali gus menyebabkan banyak inisiatif pemerkasaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa tidak dapat diteruskan.
“Kepemimpinan bertukar, tetapi program tidak wajar terhenti. MABM ditubuhkan dengan kelulusan Jemaah Menteri pada tahun 1997 dan aktif dalam tempoh tahun 2000 hingga 2015. Jaringan yang sudah dibina itu sangat besar makna dan impaknya, kerana melibatkan banyak negara sedunia.
“Pada satu ketika, MABM pernah menjadi platform penting menyelaraskan program promosi bahasa dan persuratan Melayu, termasuk misi akademik, pertukaran tenaga pengajar, program mobiliti pelajar serta penyediaan bahan pengajaran di luar negara,” katanya yang juga Profesor Emeritus Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia.
Awang turut menjelaskan bahawa beberapa universiti di China, Jepun dan Eropah telah lama menawarkan pengajian bahasa Melayu, namun perkembangan itu perlu disokong melalui jaringan institusi seperti MABM agar lebih tersusun untuk kecemerlangan pada masa hadapan.
“Sekarang di China sahaja sudah ada sekurang-kurangnya 17 institusi pengajian tinggi menawarkan bahasa Melayu, termasuk program ijazah empat tahun. Ini perkembangan besar, tetapi perlu disokong dengan koordinasi antarabangsa yang mantap,” katanya.
Awang berkata usaha menghidupkan semula MABM, bukan sekadar untuk memartabatkan bahasa Melayu, tetapi juga mengangkat bahasa itu sebagai wahana ilmu, diplomasi dan peradaban yang mampu menembusi sempadan dunia.
Beliau turut menegaskan bahawa bahasa Melayu perlu dilihat sebagai instrumen diplomasi budaya dan ekonomi, bukan sekadar bahasa komunikasi.
“Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, bahkan alat diplomasi budaya, ekonomi dan pendidikan. Kalau diurus dengan baik, impaknya sangat besar kepada negara,” katanya.
Ahli Dewan Negara itu, turut menarik perhatian kepada model negara lain seperti Indonesia yang berjaya mengangkat bahasa Indonesia melalui program Bahasa Indonesia untuk Penutur Asing (BIPA), sekali gus meningkatkan pengaruh global negara tersebut termasuk pengiktirafan sebagai antara bahasa rasmi di UNESCO.
“Indonesia melabur secara konsisten dalam bahasa dan budaya. Hasilnya, bahasa mereka diangkat pada peringkat antarabangsa. Kita juga mampu, tetapi perlu kesungguhan dan kesinambungan dasar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan peruntukan tetap bagi MABM, sebagai asas untuk menggerakkan semula program antarabangsa secara lebih tersusun.
“Sekurang-kurangnya ada peruntukan asas untuk bergerak. Dari situ kita boleh hidupkan semula jaringan antarabangsa, menghantar tenaga pengajar dan memperkukuh bahan pengajaran bahasa Melayu,” katanya.
Beliau turut menegaskan peranan media penting dalam memastikan isu pengantarabangsaan Bahasa Melayu, terus diberi perhatian oleh pembuat dasar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial