KUANTAN, 4 Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia di Pahang tahun ini tampil dengan keunikan tersendiri apabila mengetengahkan tradisi mangkuk tingkat sebagai simbol penghargaan keluarga kepada anggota bomba, selain mendekatkan lagi masyarakat dengan pasukan itu.
Pengerusi Persatuan Suri dan Pegawai Wanita Bomba dan Penyelamat Malaysia (Perisma) Pahang Datin Suraya Jusoh berkata mangkuk tingkat edisi khas diperkenalkan sebagai lambang kasih sayang dan sokongan keluarga terhadap anggota bomba yang sentiasa bersiap siaga tanpa mengira waktu, demi keselamatan orang awam.
Beliau berkata pendekatan berteraskan warisan itu bukan sahaja unik, malah mangkuk tingkat atau “siya” dilihat mampu menjadi medium berkesan untuk mendekatkan masyarakat dengan pasukan penyelamat itu.
“Bila kita menghasilkan sesuatu barangan unik berkaitan bomba, ramai yang ingin memilikinya dan hal ini dapat meningkatkan sokongan orang ramai terhadap Wira Merah. Inisiatif ini merupakan tanda penghargaan kepada pasukan bomba,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Menariknya mangkuk tingkat khas itu turut dihiasi dengan elemen yang melambangkan identiti anggota bomba wanita, sekali gus menonjolkan peranan golongan berkenaan dalam pasukan penyelamat.
Produk edisi kedua itu dijangka menarik minat pengumpul mangkuk tingkat dan ia terbukti apabila mendapat sambutan luar jangka selepas tular di media sosial, dengan tempahan bukan sahaja diperoleh dari dalam negara, malah hingga Brunei.
Dipasarkan dengan harga RM29.90 seunit, pengeluaran mangkuk tingkat edisi khas itu yang pada mulanya dibuat secara kecil-kecilan, terpaksa ditingkat demi memenuhi permintaan.
“Sambutan tersebut mencerminkan penghargaan masyarakat terhadap pengorbanan anggota bomba, sekali gus merapatkan lagi hubungan antara dua pihak,” katanya.
Beliau berkata hasil jualan mangkuk tingkat tersebut akan disalurkan sebagai dana bagi menyokong aktiviti kebajikan Perisma, khususnya melibatkan kesejahteraan keluarga warga bomba di Pahang.
Hari Anggota Bomba Sedunia disambut pada 4 Mei setiap tahun sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan dan khidmat anggota bomba dalam memastikan keselamatan awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial