PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengoptimumkan penggunaan sumber secara strategik bagi mendepani cabaran semasa termasuk tekanan kewangan akibat ketidakstabilan ekonomi global, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nor Hisham Mohammad.
Beliau berkata ketidakstabilan ekonomi dunia termasuk kesan krisis di Asia Barat telah menyebabkan pelbagai kekangan terutamanya dari aspek pengurusan kewangan serta lonjakan harga pasaran bahan api.
"Namun jabatan kekal optimis untuk terus melaksanakan tanggungjawab dengan cekap dan berkesan,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Bomba Sedunia 2026 hari ini.
Nor Hisham berkata pendekatan itu melibatkan penjimatan serta penerokaan kaedah operasi lebih inovatif termasuk model Kerjasama Awam-Swasta-Rakyat (4P).
Beliau berkata JBPM juga akan terus menambah baik keupayaan pengurusan operasi dan pentadbiran termasuk penambahbaikan aset, latihan berterusan, integrasi teknologi dan pengukuhan strategi kesiapsiagaan.
"Menjunjung prinsip Work More With Less, membuktikan bahawa keterbatasan bukan penghalang untuk memberikan perkhidmatan terbaik.
“Jangan dipersoal apa yang negara beri kepada kita, sebaliknya tanya pada diri apa yang patut kita berikan kepada negara,” katanya.
Dalam pada itu, Nor Hisham berkata JBPM turut memperkukuh aspek kebajikan, keselamatan dan sokongan psikososial anggota memandangkan tugas mereka yang sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko.
“Kita sedar tugas sebagai anggota bomba saban hari tidak boleh lari daripada terdedah kepada pelbagai risiko, baik dalaman mahupun luaran.
"Justeru, pelbagai inisiatif penting telah dilaksanakan oleh jabatan ini melalui pelbagai medium bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan anggota sentiasa terpelihara, di samping memperkukuh aspek keselamatan, latihan serta sokongan psikososial,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial