WILAYAH - UTARA > BERITA

Penguatkuasaan PKM Tidak Kira Latar Belakang Pesalah - SWCorp

30/04/2026 02:59 PM

ALOR SETAR, 30 April (Bernama) -- Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) tidak mengira latar belakang pesalah sama ada terdiri daripada penjawat awam atau swasta, sekali gus membuktikan tindakan penguatkuasaan itu adil.

Pengarah SWCorp Kedah Shamsuharizal Basir berkata dalam siri ketujuh PKM di Dataran Pahlawan di sini, sebanyak 24 pesalah berumur 19 hingga 53 tahun terlibat terdiri daripada 23 warganegara dan seorang bukan warganegara (Bangladesh).

Beliau berkata kesalahan utama yang dilakukan ialah membuang sampah kecil, khususnya putung rokok serta meninggalkan bekas makanan di tempat awam, terutama di kawasan parkir dan lokasi tumpuan orang ramai seperti pasar raya besar di pusat bandar.

“Bagi tempoh 1 Jan hingga 29 April lepas, sebanyak 43 pesalah dikenakan PKM melibatkan jumlah 267 jam. Daripada jumlah itu, 10 pesalah selesai menjalani hukuman dengan 120 jam direkodkan, manakala baki 33 pesalah masih menjalani PKM melibatkan 147 jam lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan Ops Cegah sebelum ini dilihat berkesan apabila beberapa kawasan panas dikenal pasti menunjukkan penurunan ketara kesalahan, malah ada yang tidak lagi mencatatkan kes.

Shamsuharizal berkata keberkesanan operasi itu turut didorong keprihatinan masyarakat yang tampil menyalurkan maklumat dan bukti seperti rakaman kamera papan pemuka, kamera litar tertutup (CCTV) serta aduan terus kepada pihak berkuasa.

“Kerjasama orang ramai sebagai ‘mata dan telinga’ pihak penguat kuasa amat membantu dalam usaha membanteras kesalahan pembuangan sampah kecil,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya terus menjaga kebersihan persekitaran dan tidak membuang sampah sewenang-wenangnya, khususnya dalam kalangan perokok agar melupuskan putung rokok dengan betul.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan