WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Shairul Aiman Juarai Kategori Terbuka Cabaran Renang Rentas Selat Labuan

03/05/2026 04:57 PM

LABUAN, 3 Mei (Bernama) -- Perenang Sabah, Shairul Aiman Shairul Jefry muncul juara kategori terbuka Cabaran Renang Rentas Selat Antarabangsa Labuan sejauh 5.4 kilometer (km) dengan catatan masa satu jam 23 minit dan 18 saat (s). 

Shairul diberi saingan sengit oleh perenang Labuan Tan Jie Sheng, yang meraih tempat kedua dengan catatan 1:33:22s, manakala seorang lagi perenang tuan rumah Chin Zhung Lim, di tempat ketiga selepas mencatat 1:45:18s.

Bagi kategori terbuka wanita pula, perenang Labuan Avena Ng Siew Tien merangkul tempat pertama dalam acara 5.4 km dengan catatan 2:41:56s.

Perenang Labuan turut mendominasi kategori remaja sejauh 2.7 km dengan menyapu bersih 10 tempat teratas, yang didahului Rafa Raziq Rahmatdan di tempat pertama dengan catatan 49:28s, diikuti rapat oleh Andrew Ng Keng Him (49:31s), manakala Muhd Al Fateh Aisy Jijam di tempat ketiga (56:47s).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail berkata peserta telah menunjukkan semangat juang dan ketahanan yang tinggi walaupun berdepan cuaca panas serta keadaan laut terbuka yang mencabar. 

“Walaupun cuaca panas di laut terbuka, perenang tetap bersemangat untuk menamatkan perlumbaan.

“Kami berharap untuk melihat lebih banyak penyertaan dari negara luar pada tahun depan,” katanya kepada Bernama selepas acara tersebut.

Perlumbaan itu yang dilepaskan di pantai Kompleks Sukan Laut Labuan, menyaksikan setiap peserta berenang menuju ke Pulau Papan sebelum berpatah balik ke garisan penamat.

Keseluruhan 102 peserta mengambil bahagian dalam cabaran tersebut, termasuk 23 peserta luar negara iaitu dari United Kingdom, Australia, Perancis, Jepun dan Brunei. 

Cabaran Renang Rentas Selat Antarabangsa Labuan merupakan satu daripada acara utama sempena Cabaran Sukan Laut Antarabangsa Labuan (LISC) 2026, iaitu acara sukan laut dan pelancongan tahunan bertujuan memperkukuh kedudukan Labuan sebagai destinasi serantau bagi sukan berkenaan serta rekreasi dan pertandingan lasak.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan