KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Literasi digital wajar dianggap sebagai hak asasi dan keutamaan untuk menangani kemudaratan dalam talian, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata meskipun undang-undang dan peraturan penting, masalah literasi digital yang kurang masih menjadi jurang kritikal, khususnya dalam mendidik pengguna mengenai hak mereka dalam ruang siber.
“Perkara yang menjadi teras adalah literasi digital, yang masih kurang diberi penekanan dalam pendidikan asas mengenai hak kita.
“Kita sering mendesak mahukan Internet yang laju, internet yang murah, tetapi kita tidak benar-benar mendesak atau mengetahui mengenai hak kita apabila melibatkan Internet yang lebih selamat,” katanya pada sesi khas Persidangan Hak Wanita 2026: “Together We Create PowHER”, yang bertemakan “Online Safety and Harassment - Combating Online Violence and Promoting Digital Safety for Women in ASEAN”, di sini hari ini.
Fahmi adalah antara penceramah pada sesi itu, bersama wakil serantau dari negara anggota ASEAN lain, iaitu Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand.
Beliau turut menekankan mengenai keperluan melindungi kanak-kanak, khususnya mereka di bawah umur 16 tahun daripada risiko dalam talian dan penyalahgunaan data peribadi.
“Kita perlu melindungi data peribadi kita. Bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun, bukan sahaja mereka terdedah kepada kemudaratan dalam talian, termasuk pemangsa seksual, tetapi tanpa hak literasi digital, mereka akan terus mendedahkan lebih banyak hak digital dan data peribadi mereka,” katanya.
Malaysia sedang mempertimbangkan untuk mengehadkan penggunaan media sosial kepada golongan di bawah umur 16 tahun, selaras dengan langkah yang diambil oleh negara seperti Indonesia, Australia, United Kingdom dan Sepanyol.
Fahmi berkata negara-negara ASEAN telah mengambil pendekatan kolektif dalam menangani kemudaratan dalam talian, termasuk buli siber dan keganasan dalam talian berasaskan gender, melalui Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab untuk ASEAN, yang ditandatangani pada 26 Okt tahun lepas.
Persidangan sehari itu menghimpunkan pembuat dasar, pengamal undang-undang dan pakar serantau bagi membincangkan hak wanita, kepimpinan serta keselamatan digital, termasuk cabaran yang dicetuskan oleh gangguan dalam talian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial