KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Pemimpin kerajaan ASEAN dan eksekutif perniagaan Kesatuan Eropah (EU) akan berhimpun bagi Sidang Kemuncak Kelestarian ASEAN-EU di Cebu, Filipina pada 7 Mei ini untuk menangani isu daya tahan ekonomi dan pertumbuhan mampan ketika rantau ini bergelut dengan krisis tenaga dan tekanan ekonomi yang semakin meruncing.
Majlis Perniagaan EU-ASEAN (EU-ABC) dalam satu kenyataan memaklumkan sidang kemuncak sulung itu, yang diadakan sehari sebelum Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-48, akan memberi tumpuan kepada usaha ASEAN memperkukuh daya tahan dan mengekalkan pertumbuhan menerusi perkongsian ASEAN-EU serta kerjasama awam-swasta sebagai pemacu utama pembangunan mampan serantau.
Antara sorotan program termasuk panel peringkat menteri yang menampilkan Setiausaha Kewangan Filipina Frederick D. Go dan Timbalan Menteri Perancangan Pembangunan Nasional Indonesia Leonardo A. A. Teguh Sambodo.
Duta EU ke Filipina Massimo Santoro juga akan menyertai dialog mengenai kerjasama ASEAN-EU bersama Setiausaha Robert E.A. Borje, yang merupakan Naib Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Perubahan Iklim Filipina.
Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, Duta EU ke ASEAN Sujiro Seam dan wakil Suruhanjaya Eropah dijangka menyertai persidangan itu secara dalam talian.
“Perbincangan akan tertumpu kepada keutamaan kelestarian di bawah Kepengerusian ASEAN Filipina 2026, termasuk peralihan tenaga dan kewangan hijau, pembangunan ekonomi sepusingan, perdagangan dan rantaian bekalan mampan, serta pertanian tahan iklim.
“Inisiatif ini bertujuan memupuk kerjasama awam-swasta yang lebih erat dan akan turut menampilkan eksekutif daripada Boehringer Ingelheim, Coca-Cola, Philip Morris International serta syarikat antarabangsa yang lain,” menurut kenyataan itu.
Lebih 200 wakil daripada kerajaan, perniagaan, institusi pembangunan dan masyarakat madani dijangka menghadiri sidang kemuncak itu yang dianjurkan bersama oleh EU-ABC dan Dewan Perniagaan Eropah Filipina (ECCP).
Pengarah Eksekutif EU-ABC Chris Humphrey berkata ASEAN dan EU perlu saling bergantung bagi membina perkongsian jangka panjang yang boleh dipercayai berasaskan aspirasi bersama untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Kita sedang menghadapi pelbagai krisis serentak – cabaran tenaga, ekonomi dan rantaian bekalan yang tidak boleh ditangani secara sendirian oleh mana-mana pihak.
“Majlis telah menekankan mesej yang sama dalam pertemuan kami dengan Suruhanjaya Eropah di Brussels baru-baru ini, dan sidang kemuncak ini berfungsi sebagai platform penting untuk memperdalam perbincangan berkenaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial