KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas pengorbanan dan khidmat bakti seluruh warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang tidak pernah mengenal erti lelah dalam menjaga keamanan perairan negara.
Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-92 TLDM hari ini, beliau menyifatkan pasukan keselamatan itu sebagai wira negara yang sentiasa siap siaga mempertahankan keselamatan dan kedaulatan perairan tanah air.
Ahmad Zahid berkata dedikasi, disiplin dan semangat juang yang ditunjukkan oleh setiap anggota dan pegawai TLDM sentiasa menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.
“Selamat Ulang Tahun ke-92 saya ucapkan.
“Semoga TLDM terus kekal sebagai angkatan laut yang berwibawa, disegani dan sentiasa bersedia mempertahankan kedaulatan negara, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan pengorbanan dan khidmat bakti para perwira laut dalam menjaga keselamatan negara, amat besar nilainya buat rakyat serta tanah air.
Beliau berkata warga TLDM sentiasa teguh mempertahankan kedaulatan perairan negara dengan penuh keberanian, disiplin dan semangat patriotisme yang tinggi.
“Semoga TLDM terus gah sebagai benteng pertahanan maritim negara, cekal menghadapi cabaran serta sentiasa diberkati dalam setiap amanah yang dipikul.
“Terima kasih atas jasa dan pengorbanan kalian demi keamanan serta kedaulatan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Ulang Tahun pasukan itu yang ke-92.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial