WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CMP 2026-2030 Carta Fasa Seterusnya Dalam Pembangunan Pasaran Modal Malaysia - Bursa Malaysia

10/03/2026 12:36 AM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Fasa seterusnya pembangunan pasaran modal Malaysia akan dipacu oleh Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) 2026-2030 yang menyasarkan pengembangan saiz pasaran antara RM1.5 trilion hingga RM2 trilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad'l Mohamed berkata pelan induk itu menyediakan rangka kerja yang jelas untuk memastikan pasaran kekal relevan pada masa akan datang sambil menyumbang kepada pertumbuhan negara yang mampan dan saksama melalui pengukuhan kerancakan pasaran, peluasan penyertaan, memajukan kemampanan termasuk memperdalam kesalinghubungan serantau,” katanya dalam satu kenyataan. 

Bursa Malaysia akan memainkan peranan aktif dalam memajukan matlamat pelan induk itu dengan berusaha ke arah meningkatkan kerancakan pasaran dengan membolehkan prestasi korporat yang lebih mantap, memperdalam aktiviti dagangan dan meluaskan akses kepada pelabur.

“Ini seperti menarik aliran tawaran awam permulaan (IPO) yang lebih kukuh dan membangunkan indeks serta program yang akan meningkatkan keterlihatan, daya saing dan potensi penciptaan nilai syarikat tersenarai di Malaysia,” katanya. 

Dalam menerajui keterangkuman, Fad'l berkata bursa itu akan meluaskan jangkauan pelabur dan penyertaan runcit, sambil menambah baik laluan pengumpulan dana kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan.

“Peningkatan kepada ekosistem LEAP dan Pasaran ACE, bersama-sama dengan kesediaan penerbit serta usaha membina kapasiti, akan membolehkan lebih banyak perniagaan mengakses pasaran awam,” katanya. 

Beliau ketika mengulas mengenai kemampanan berkata menerusi Bursa Karbon Bursa (BCX), Bursa Malaysia berharap untuk mempercepatkan ekosistem pasaran karbon sukarela Malaysia dengan memudahkan perdagangan karbon dan mengukuhkan infrastruktur pasaran yang diperlukan,” katanya. 

Beliau menambah bahawa bursa itu juga akan memajukan ketersambungan serantau dengan membolehkan penyenaraian rentas sempadan selain mengembangkan tawaran pelaburan serantau seperti dana dagangan bursa (ETF).

Kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam kekal sebagai kelebihan strategik dan bursa itu akan menyokong inovasi produk sejajar Maqasid al-Shariah serta meluaskan rangkaian tawaran Islam bagi memenuhi keperluan pelabur yang semakin berkembang.

“Apabila kita melangkah ke bab pembangunan pasaran seterusnya, Bursa Malaysia akan mengguna pakai pendekatan keseluruhan ekosistem, bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti dan peserta industri untuk membentuk pasaran modal yang lebih kukuh serta berdaya tahan yang memacu penciptaan nilai kepada rakyat Malaysia merentasi semua segmen masyarakat,” katanya. 

 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan