WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ketegangan Di Timur Tengah: MATTA Nasihat Pengembara Semak Status Penerbangan

01/03/2026 06:00 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menasihati pengembara supaya sentiasa berwaspada dan menyemak kemas kini status penerbangan susulan gangguan penerbangan antarabangsa akibat peningkatan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

Naib Presiden (Pengangkutan Udara) MATTA Dr Fazil Khan berkata peningkatan isu keselamatan di rantau terbabit telah memaksa syarikat penerbangan mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggantung operasi penerbangan, mengubah laluan serta menyelaras semula jadual penerbangan.

“Beberapa hab penerbangan utama dan ruang udara di Timur Tengah termasuk di kawasan Teluk serta wilayah bersebelahan pada masa ini beroperasi dengan langkah keselamatan dipertingkatkan.

“Perkembangan ini telah mengakibatkan kelewatan, pembatalan penerbangan dan pelaksanaan sekatan sementara ruang udara yang menjejaskan penerbangan transit atau beroperasi ke dan dari rantau berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fazil berkata situasi semasa masih tidak menentu dan boleh berubah pada bila-bila masa bergantung kepada penilaian keselamatan oleh pihak berkuasa serantau serta syarikat penerbangan.

Beliau berkata gangguan penerbangan itu adalah di luar kawalan ejen pelancongan memandangkan sebarang keputusan operasi berkaitan perubahan penerbangan dilaksanakan sepenuhnya oleh syarikat penerbangan dan pihak berkuasa penerbangan, berdasarkan pertimbangan keselamatan dan keselamatan penerbangan.

“Sebarang perubahan terhadap pengaturan perjalanan termasuk penempatan semula, pemulangan wang atau pindaan jadual perjalanan adalah tertakluk sepenuhnya kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan dan penyedia perkhidmatan masing-masing.

“Ahli MATTA akan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya dan mengekalkan profesionalisme dalam membantu pelanggan mencari pengaturan perjalanan alternatif.

“Bagaimanapun, sebarang alternatif masih tertakluk terhadap polisi komersial yang telah ditetapkan serta keputusan operasi syarikat penerbangan serta rakan hotel di lapangan,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan