WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Operasi KLIA Lancar Walaupun Beberapa Penerbangan Dibatalkan – MAHB

01/03/2026 06:01 PM

SEPANG, 1 Mac (Bernama) -- Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) stabil dan teratur meskipun beberapa penerbangan dibatalkan susulan perkembangan situasi di Timur Tengah, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

MAHB memberitahu Bernama bahawa Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA terus beroperasi sepenuhnya, dan proses pengendalian penumpang di kaunter daftar masuk, saringan keselamatan serta imigresen berjalan lancar. 

Menurut pengendali lapangan terbang itu, sebanyak 26 penerbangan telah dibatalkan, masing-masing melibatkan 13 penerbangan berlepas dan 13 ketibaan.

“Pembatalan itu melibatkan perkhidmatan terpilih ke dan dari destinasi Timur Tengah yang terjejas, serta beberapa laluan jarak jauh yang memerlukan pelarasan ruang udara,” menurut MAHB. 

Pada masa ini, MAHB mengesahkan tiada penumpang terkandas direkodkan di bawah Sistem Respons Krisis, dan aliran penumpang di kedua-dua terminal kekal diurus dengan baik.

Bagaimanapun, MAHB memaklumkan bahawa keadaan masih tidak menentu dan tertakluk kepada penilaian keselamatan ruang udara serta syarikat penerbangan, dengan kemungkinan berlaku pelarasan jadual penerbangan. 

“Syarikat penerbangan akan terus memantau perkembangan ruang udara, khususnya bagi yang mengendalikan laluan jarak jauh memandangkan laluan alternatif mungkin diperlukan bagi mengelakkan zon yang terjejas.

“Malaysia Airports akan terus memantau rapat perkembangan dan menerajui usaha respons yang diselaraskan bagi memastikan lapangan terbang beroperasi dengan selamat, teratur serta cekap,” katanya.

Penumpang yang transit atau melakukan perjalanan melalui kawasan terjejas dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan secara terus dengan syarikat penerbangan sebelum ke lapangan terbang, bagi mendapatkan maklumat terkini.

Menurut MAHB, mesyuarat penyelarasan krisis secara berkala sedang diadakan, selain menerima laporan situasi (SITREP) daripada pihak berkepentingan utama bagi memastikan gambaran operasi yang menyeluruh dan terkini.

Syarikat penerbangan perlu memaklumkan kepada pihak pengurusan lapangan terbang mengenai sebarang semakan operasi, termasuk pembatalan, lencongan penerbangan atau pelarasan jadual.

“Langkah kontingensi kekal dilaksanakan sekiranya keadaan semakin meruncing. Komuniti lapangan terbang juga beroperasi di bawah mekanisme respons yang tersusun dan diselaraskan,” menurut MAHB.

Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan siri serangan terhadap sasaran di Iran pada Sabtu, termasuk Tehran.

Iran telah melaksanakan serangan balas misil ke wilayah Israel serta kemudahan tentera AS di Timur Tengah.

Ribuan penerbangan di Timur Tengah telah dibatalkan, manakala ruang udara di rantau itu turut ditutup.

Syarikat penerbangan utama termasuk Malaysia Airlines, Qatar Airways, Saudia dan beberapa syarikat penerbangan yang berpangkalan di Abu Dhabi telah menangguhkan atau membatalkan beberapa penerbangan sejak semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan