KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melihat pulangan dividen yang stabil dan terjamin sebagai faktor penting dalam keselamatan simpanan persaraan mereka.
Pengurus pemasaran, Nurain Kamaruddin, 40, berkata pengumuman dividen sebanyak 6.15 peratus bagi simpanan konvensional dan shariah KWSP untuk 2025 memberikan keyakinan kepadanya untuk menjalani kehidupan yang selesa apabila bersara kelak.
“Saya harap kadar dividen KWSP akan kekal di atas paras enam peratus pada tahun akan datang,” katanya kepada Bernama hari ini.
Di JOHOR, Pengurus Media dan Komunikasi Digital, Media Digital Johor (MDJ) Aivizanoorwani Shah Shahroni, 43, berkata KWSP masih memberikan pulangan yang agak baik serta pelaburan yang selamat untuk jangka panjang dan persediaan persaraan.
“Pada saya, ia masih baik kerana berada dalam lingkungan enam peratus, mengambil kira landskap ekonomi semasa,” katanya.
Di SARAWAK, penyelia keselamatan kilang Brauselt Elden Usah, 35, berkata beliau berpuas hati dengan kadar yang diberikan dan menganggap KWSP sebagai instrumen simpanan selamat dan terjamin untuk jangka masa panjang berbanding pilihan pelaburan lain yang lebih berisiko.
“Kestabilan pulangan lebih penting berbanding keuntungan besar dalam tempoh singkat. Dividen yang konsisten setiap tahun membantu memastikan simpanan persaraan terus berkembang secara berterusan,” katanya.
Di SABAH, seorang juruteknik elektrik, Jelson Guntalib, 32, berkata kadar dividen berkenaan merupakan satu angka yang kompetitif dan memberikan kelegaan kepada pencarum muda sepertinya yang menitikberatkan simpanan jangka panjang.
Beliau berkata jumlah itu dilihat jauh lebih tinggi daripada kadar faedah simpanan tetap di bank komersial.
"Saya tidak bercadang untuk melakukan sebarang pengeluaran, sebaliknya mahu membiarkan dividen ini terus berkembang dalam akaun untuk memastikan kelangsungan hidup selepas bersara nanti," katanya.
Di PERLIS, guru tadika swasta Syafini Halim, 26, juga menyifatkan jumlah dividen yang diagihkan masih pada kadar baik dan membantu meningkatkan simpanan persaraan secara konsisten.
Di PULAU PINANG, pekerja swasta Nadzirah Madi, 36, yakin pengurusan dana KWSP berada pada landasan yang tepat walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan pasaran.
"Saya berharap KWSP terus mengekalkan strategi pelaburan berhemah yang mampu menjana pulangan konsisten pada masa depan," katanya.
Senada dengan Nadzirah, pekerja teknologi maklumat Hisham Aziq, 35, dari SELANGOR berkata kadar dividen itu mencerminkan keupayaan dana persaraan negara mengekalkan prestasi berdaya tahan dalam landskap ekonomi tidak menentu, di samping menunjukkan disiplin pengurusan pelaburan yang menitikberatkan kemampanan jangka panjang.
Di MELAKA, pekerja kedai perkakasan Nur Amera Fatiha Hamsan, 27, berkata caruman KWSP merupakan pelaburan utama bagi pekerja dengan gaji minimum sepertinya, dan pengumuman dividen 6.15 peratus semalam memberikan keyakinan terhadap pengurusan pelaburan oleh institusi berkenaan.
Di TERENGGANU, pekerja sebuah hospital swasta Noradibah Suhaila Mohd Ghazali, 37, melahirkan rasa syukur kerana simpanan persaraan beliau dan suami terus berkembang.
"Kami tidak mempunyai pelaburan di medium lain, hanya KWSP dan Amanah Saham Bumiputera (ASB). Itulah sahaja bekal kami untuk hari tua," katanya.
Di KELANTAN, pekerja swasta Md Firdaus Ab Ghaffar, 35, berharap KWSP terus mengekalkan prestasi pelaburan secara konsisten agar kepentingan pencarum sentiasa terpelihara pada masa akan datang.
Di NEGERI SEMBILAN, pekerja swasta Rosmawati Ismail, 45, berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian dividen ke dalam Akaun Fleksibel (Akaun 3) supaya pencarum dapat menggunakan wang bagi keperluan mendesak, khususnya menjelang Aidilfitri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial