WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Solidariti Bersama Umat Islam, Masyarakat Terjejas Konflik Di Asia Barat

01/03/2026 04:46 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Malaysia bersolidariti bersama dengan semua umat Islam dan masyarakat di Asia Barat yang terjejas susulan ketegangan berpunca daripada tindakan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang melancarkan serangan terhadap Iran pada Sabtu.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia mendoakan kesejahteraan umat Islam dan semua masyarakat yang terkesan di Asia Barat.

Beliau turut menzahirkan harapan agar keamanan, keadilan dan kestabilan dapat segera dipulihkan di Asia Barat.

AS dan Israel melancarkan siri serangan terhadap sasaran di Iran pada Sabtu, termasuk Tehran, dengan laporan kemalangan orang awam. 

Iran telah melaksanakan serangan balas misil ke wilayah Israel serta ke kemudahan tentera AS di Timur Tengah.

Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan terbunuh susulan serangan pada pagi Sabtu itu, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Menerusi hantaran berasingan, Anwar Ibrahim berkata gencatan senjata segera dan tanpa syarat adalah satu keperluan mendesak susulan serangan Israel terhadap Iran yang mengheret Timur Tengah ke ambang malapetaka.

Beliau turut menggesa Israel, AS dan Iran supaya menghentikan segala tindakan provokatif serta kembali kepada meja rundingan diplomasi dan dialog.

“Sebarang tindakan bersifat provokatif hanya akan mencetuskan krisis lebih besar, menggugat kestabilan serantau dan berisiko mengheret lebih banyak negara ke dalam konflik yang sukar dibendung,” kata Perdana Menteri.

Sementara itu, dalam petikan ucapan yang disertakan pada hantaran sama, Anwar menyifatkan ketegangan di Timur Tengah yang berpunca daripada tindakan AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Sabtu sebagai satu tragedi besar kepada umat Islam.

“Jarang sekali dalam sejarah manusia begitu banyak tragedi yang menimpa umat. Puluhan tahun negara dijajah, diperkosa, tanah dirampas, terus berlaku di depan mata kita. 

“Semoga Allah SWTmemberikan kekuatan kepada kita untuk menjaga diri, keluarga, masyarakat dan negara serta mendoakan sahabat-sahabat yang terus mempertahankan prinsip kebenaran dan keadilan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan