KUALA KUBU BHARU, 28 Feb (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) terus mempergiat usaha mendekati komuniti FELDA sebagai langkah memutuskan rantaian penyalahgunaan dadah, khususnya melibatkan golongan belia dan remaja.
Timbalan Pengarah Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Mohd Zani Che Din berkata pendekatan berterusan melalui program komuniti adalah penting, memandangkan sindiket dadah kini menyasarkan golongan muda sebagai sasaran utama.
“Jika tidak dibendung dari peringkat awal, ia boleh merosakkan masa depan individu, keluarga serta komuniti secara keseluruhan,” katanya ketika berucap pada program Generasi Sihat, Komuniti Hebat - Desaku Mendunia, Kita Jaga Kita di Masjid Al-Makmur Felda Gedangsa di sini hari ini.
Beliau berkata statistik pada 2024 menunjukkan masalah dadah berada pada tahap membimbangkan apabila lebih 190,000 individu direkodkan terbabit dengan penyalahgunaan dan penagihan dadah, sekali gus mencatatkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.
“Golongan berusia antara 15 hingga 39 tahun merupakan kumpulan paling ramai terlibat, iaitu melebihi 60 peratus daripada keseluruhan kes. Ini bermakna dadah sedang merosakkan generasi muda serta tenaga produktif negara,” katanya.
Mohd Zani berkata trend semasa menunjukkan peningkatan penggunaan dadah sintetik seperti syabu dan pil perangsang yang lebih mudah diperoleh dan memberi kesan ketagihan dengan cepat.
Mengulas peranan komuniti, beliau berkata masyarakat Felda merupakan tunjang pembangunan negara dan perlu memainkan peranan aktif memastikan kawasan mereka bebas daripada pengaruh dadah.
“Ibu bapa perlu peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak, pemimpin masyarakat perlu berani bertindak dan menegur, manakala belia perlu dilengkapi dengan ilmu serta aktiviti sihat supaya tidak mudah terjerumus ke dalam gejala negatif,” katanya.
Beliau menegaskan PDRM khususnya Kontinjen Polis Selangor sentiasa komited memerangi dadah melalui penguatkuasaan undang-undang, risikan dan program pencegahan, namun kejayaan hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat dengan masyarakat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pencegahan Jenayah dan Pemulihan Berkaitan Dadah MCPF Datuk Kamarudin Md Ali berkata pihaknya merancang memperluaskan program libat urus bersama komuniti FELDA di beberapa lokasi berisiko tinggi di seluruh negara tahun ini.
“Setakat ini, kita sudah melaksanakan program ini di beberapa kawasan termasuk Kelantan dan Terengganu dan dijangka akan dijalankan di Sarawak kerana aktiviti penagihan dadah kini mula berlaku di kawasan rumah panjang,” katanya.
Beliau berkata pemilihan lokasi program dibuat berdasarkan tahap risiko dengan sasaran memperkukuh kesedaran serta penolakan dadah dalam kalangan komuniti FELDA melalui pendekatan pendidikan dan pencegahan berterusan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial