KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Kehadiran Juan Torres Garrido sebagai pengendali baharu Sabah FC masih beluym mencetuskan impak positif apabila pasukan itu hanya mampu seri 1-1 menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.
Pemain gantian S. Kumaahran muncul wira tuan rumah apabila jaringannya pada separuh masa kedua menyelamatkan Sang Badak daripada tewas dan menghalang Negeri Sembilan mencuri tiga mata.
Pasukan pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah pada minit ke-33 apabila rembatan penyerang import Bosnia and Herzegovina, Jovan Matika menerjah jaring, hasil serangan balas dan lorongan cantik dari tengah padang oleh Luqman Hakim Shamsudin.
Bersambung babak kedua, penyerang dari Perancis Chris Marlon Ondong-Mba memiliki peluang menyamakan kedudukan namun rembatan padunya hanya menggegar palang Skuad Jang pada minit ke-65.
Situasi menjadi lebih dramatik apabila penjaga gol Negeri Sembilan Muhammad Azri meninggalkan gawang bagi membantah keputusan pengadil Muhammad Afiq Naim Ahmad Khilmi memberikan sepakan percuma selepas pemain tuan rumah Fergus Tierney dijatuhkan rakan sepasukannya jelas.
Tindakan itu membawa padah buat pelawat.
Tongak tengah dari Croatia, Duje Ljubic pantas mengambil kesempatan tersebut dan melepaskan lorongan kepada Kumaahran yang berjaya menghidu ruang terbuka sebelum melepaskan rembatan dari jarak lebih 30 meter yang mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-69.
Biarpun gol tersebut cuba dibantah anak buah K. Rajan namun pengadil mengekalkan keputusan tersebut selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Sabah FC hampir meraih tiga mata penuh menerusi percubaan pemain pertahanan dari Sepanyol Jose Angel pada pehujung permainan, namun sepaknya melambung tinggi sekali gus mengekalkan keputusan seri.
Keputusan itu menyaksikan Sabah FC terus kempunan untuk merekodkan kemenangan sulung tahun ini sejak mengatasi Terengganu FC 3-1 pada 3 Dis lepas.
Dalam pada itu, hasrat Selangor FC untuk membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Hang Jebat tidak kesampaian selepas terikat tanpa jaringan dengan tuan rumah Melaka FC.
Serangan tumpul pasukan bimbingan pengendali dari Korea Selatan Kim Pan Gon, gagal menembusi benteng pertahanan Melaka dengan percubaan terbaik pelawat hadir menerusi rembatan jarak dekat penyerang dari Brazil, Pernambuco pada minit ke-81 yang ditepis penjaga gol Melaka Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil.
Biarpun berkongsi 36 mata, namun Selangor memintas pasukan jiran Kuala Lumpur City FC untuk berada di tangga kedua menerusi kelebihan perbezaan jaringan manakala Melaka yang dipimpin E. Elaravasan kekal di tangga ke-12 liga dengan 11 mata.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial