WILAYAH - TENGAH > BERITA

Ambil Tindakan Adil, Berhemah Terhadap Pihak Persenda Agama - Sultan Pahang

28/02/2026 08:08 PM

KUANTAN, 28 Feb (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan sebarang perbuatan menghina Islam, mencabar kesuciannya atau menyemai kebencian terhadap agama Allah SWT tidak boleh dipandang ringan dan hendaklah dikenakan tindakan setimpal mengikut peruntukan undang-undang negara.

Baginda bertitah Islam sebagai agama Persekutuan mempunyai kedudukan yang istimewa dan wajib dihormati oleh semua pihak, justeru sebarang bentuk provokasi, penghinaan atau tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama perlu ditangani secara tegas serta berlandaskan prinsip keadilan.

Al-Sultan Abdullah bertitah pihak berkuasa wajib bertindak tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati bersalah, namun setiap tindakan hendaklah dilaksanakan secara adil, saksama dan berhemah.

“Penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya didorong oleh emosi atau tekanan mana-mana pihak, sebaliknya mestilah berasaskan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang yang jelas. 

“Ambillah tindakan yang tegas tetapi biarlah adil. Berikan pengajaran sewajarnya tanpa membakar emosi mana-mana pihak serta pastikan keadilan ditegakkan demi kestabilan negara tercinta,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Majlis Kesultanan Pahang.

Mengenai insiden yang melibatkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) baru-baru ini, baginda bertitah ia mampu menggugat keharmonian dan ketenteraman di negeri ini dan pada masa sama mengingatkan bahawa keharmonian dan keamanan yang dinikmati adalah tanggungjawab bersama. 

Titah baginda, sebarang isu berkaitan agama hendaklah ditangani dengan penuh kebijaksanaan agar tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu.

Baginda juga menegaskan bahawa golongan yang paling perlu memainkan peranan dalam perkara ini ialah kerajaan dan pemimpin di semua peringkat. 

Sultan Pahang bertitah mereka perlu menunjukkan contoh kepimpinan yang matang, berintegriti dan berprinsip dalam mempertahankan kesucian agama serta memastikan setiap tindakan yang diambil mematuhi undang-undang dan menjunjung tinggi prinsip keadilan.

Baginda turut menzahirkan harapan agar semua pihak dapat menghormati sensitiviti agama serta bersama-sama memelihara keharmonian yang telah sekian lama menjadi asas kekuatan negara.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan